Sabtu, 20 Mei 2017

Letak jawatan jika tak mampu galas, kata wakil Pemuda PKR

Zikri Kamarulzaman
 

KONGRES PKR Akar umbi Pemuda PKR menggesa kepimpinan tertinggi sayap parti itu meletakkan jawatan sekiranya tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Perwakilan Melaka, Naqiuddin Nazrin berkata pertelingkahan dalaman yang tidak henti-henti, kurangnya program belia dan pendirian yang lemah dalam isu-isu penting menyebabkan sayap parti itu 'diambil alih' orang lain.

"Pesan saya kepada pemimpin teratas, kalau tak mampu galas jawatan, tunggu apa lagi, letak jawatan bagi kepada orang lain, kita tak ada masa lagi," kata Naqiuddin pada kongres Pemuda PKR di Shah Alam hari ini.

Ucapannya mendapat tepukan daripada kira-kira 100 perwakilan yang hadir, dengan seorang bangun dan menjerit "Saya sokong".

Naqiuddin turut mengkritik Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut hadir di kongres itu kerana tidak datang ke Melaka untuk menjalankan program-program belia.

Selain gagal mendekati belia, beliau berkata satu lagi masalah melibatkan Pemuda PKR adalah
rasuah.
Meskipun tidak memberikan contoh, beliau dipercayai merujuk skandal rasuah melibatkan ketua pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah yang menghadapi enam pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo di Ampang.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda PKR kembali kepada cita-cita asal parti itu untuk berjuang bagi melakukan reformasi dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: