Selasa, 23 Mei 2017

Lawan IS tetapi bersekongkol dengan Wahabi Saudi?

 
Adakah berkesan melawan keganasan IS dengan menari bersama pihak yang sealiran dengan mereka?
 
 
saudi-isis


Membaca penulisan Datuk Seri Najib Razak sempena mesyuarat di Riyadh, Arab Saudi, terasa harapan baru yang bahaya kumpulan IS benar-benar boleh ditangani.

Mesyuarat ini dihadiri presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dalam satu kerjasama yang baru.

Menurut Najib, ia membawa era baru dalam kerjasama dan kesefahaman di antara AS dan negara Islam. Adakah kenyataan ini boleh dipercayai?

Tiga tahun lalu, apabila IS muncul buat pertama kali, Najib memuji kehebatan mereka mengalahkan tentera Syria dan Iraq.

Apakah fahaman Islam yang dibawa IS? Ia adalah fahaman Wahabi yang amat membenci kepada Syiah bahkan kepada Ahlus Sunnah yang tidak sefahaman dengan mereka.

Saya pernah menghadiri mesyuarat di Parlimen United Kingdom di mana wakil agama dari Iraq daripada puak Sunni, Syiah dan lain-lain mengecam IS yang dikatakan sebagai pelampau Wahabi.

Golongan Wahabi inilah yang kini meresap masuk ke dalam pentadbiran Najib, yang mungkin menyebabkan luahan kekaguman Najib terhadap kejayaan IS dulu.

Wahabi ialah fahaman yang dipegang kuat di Arab Saudi. Dalam sejarah mereka juga, pengasas fahaman ini, Muhammad Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya, cukup ganas dalam menangani fahaman yang mereka anggap sebagai bid’ah (inovasi dalam agama).

Seperti ISIS, mereka membenci golongan Syiah.

Di Malaysia, mereka yang sealiran dengan Wahabi boleh dikenali dengan retorik yang sama.
Golongan Melayu Islam yang cukup selesa dengan unsur Syiah turun temurun boleh dengan tiba-tiba menukar wajah dan menjadi pembenci kepada mazhab tersebut.

Di Riyadh baru-baru ini, tetamu utama ialah Trump. Sudah lupakah kita bagaimana Trump memenangi kerusi presiden AS?

Satu daripada unsur dalam retoriknya ialah dengan membidas umat Islam. Trump berjanji mengharamkan kemasukan umay Islam ke AS.

Apabila menang, langkah pertama yang diambil olehnya ialah menghalang visa kepada warganegara sesetengah negara Islam.

Bolehkah kita mempercayai yang Trump kini berubah?

Salah satu daripada hasil lawatan Trump ialah kontrak penjualan senjata AS kepada Arab Saudi. Ia bernilai lebih AS$100. Ada kemungkinan Trump hanya berpura-pura baik dengan kerajaan Saudi. Dia seorang ahli perniagaan dan tahu menjual produk retorik kepada pihak yang sesuai.

Apabila bersama para pembenci Islam di AS pula, dia menunjukkan sifat lain. Berdepan dengan orang Islam pula yang berpotensi menjadi pembeli produknya, dia menunjukkan persahabatan.

Bolehkah kita mempercayai kerajaan Saudi ikhlas? Fahaman Islam dianuti kerajaan Saudi dan fahaman Islam IS tidak jauh bezanya.

Kedua-duanya mempunyai fahaman sempit dalam pelbagai perkara, termasuk dalam soal kebebasan wanita. Wanita di Arab Saudi masih tidak boleh memandu kenderaan di negara tersebut dan alasan yang diberi ialah mereka boleh terjebak maksiat jika diberi kebebasan untuk memandu.

Apakah perbezaan Saudi dan IS. Satu merupakan sahabat AS, satu lagi lawan kepada AS.

Bahaya IS amat ketara di negara kita. Dahulu ada pejuang IS iaitu Mohammad Wanndy Jedi yang merancang serangan melalui proksinya iaitu serangan di sebuah kelab malam. Wanndy dikatakan terbunuh tetapi ada 4 calon untuk menggantinya.

Jika perdana menteri bersungguh-sungguh menewaskan IS di Malaysia, tidak cukup dengan mengikut tarian politik Arab Saudi.

Dia perlu mendapatkan maklumat tentang segelintir kumpulan Islam di Malaysia sendiri. Ada banyak saluran di mana fahaman Islam yang boleh dikatakan menjurus IS, walaupun tanpa senjata.

Untuk menewaskan IS, kita perlu melihat masalah ini secara sistematik iaitu ia bukan terpencil tetapi sebahagian daripada masalah yang lebih besar.

Tidak cukup dengan menyertai mesyuarat. Kita mesti berani berhadapan dengan musuh dalam selimut juga walaupun akan kehilangan sokongan mereka.

Tiada ulasan: