Ahad, 21 Mei 2017

Laporan polis kini boleh dibuat menerusi online

Oleh Diyana Ibrahim
Laporan polis kini boleh dibuat menerusi online
Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata sistem aduan dalam talian e-reporting memudahkan orang ramai tidak perlu ke balai polis membuat laporan bagi kes tidak membabitkan unsur jenayah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal
 
POLIS hari ini melancarkan sistem aduan dalam talian yang memudahkan orang ramai membuat laporan seperti kehilangan kad pengenalan tanpa perlu ke balai polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata sistem dikenali sebagai e-reporting itu dilancarkan ketua polis negara Khalid Abu Bakar pada Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, laporan yang boleh dibuat menerusi aplikasi itu ialah kes tanpa melibatkan jenayah yang memerlukan siasatan lanjut polis.

"Orang ramai boleh membuat laporan polis dari rumah atau telefon bimbit, sekali gus mengurangkan masa mereka menunggu di pejabat pertanyaan,” katanya kepada media pada program menembak di Lapang Sasar PGA Cheras Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pada masa ini aplikasi aduan itu hanya boleh digunakan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail Petaling Jaya.

Menurut rekod polis pada tahun ini, sebanyak 150,762 daripada 167,274 laporan polis ialah mengenai kehilangan kad pengenalan.

Beliau turut melancarkan sistem pemeriksaan secara talian yang membenarkan orang ramai memeriksa perkembangan kes mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web http://ereporting.rmp.gov.my and http://sso.rmp.gov.my.

Tiada ulasan: