Selasa, 16 Mei 2017

Laporan: Malaysia tempat lambakan militan asing

Militan, termasuk mereka yang cuba menyertai IS atau mengancam keselamatan negara sendiri, berkeliaran sebagai pelancong, lapor NST


terrorist-1


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 30 militan asing atau individu “berisiko tinggi”, yang gagal memasuki Syria untuk berjuang bersama IS, berada di negara ini sebagai pelancong.

Mereka ditahan pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan ke Syria dan “dibuang” ke Malaysia. Dokumen perjalanan menyatakan mereka sebagai pelancong.

Menurut laporan New Straits Times (NST), rupa-rupanya mereka diberi pilihan sama ada dihantar pulang ke negara asal atau ke Malaysia. Mereka memilih datang ke sini kerana Malaysia negara majoriti Islam.

NST juga memetik sumber sebagai berkata, menjadi amalan beberapa negara membantu individu yang tidak diingini – termasuk mereka yang dianggap “berbahaya” – mendapatkan dokumen perjalanan untuk masuk ke Malaysia sebagai pelancong.

Menurut laporan itu, Malaysia secara “tidak sengaja” menjadi penerima militan asing yang dihalang memasuki Syria untuk berjuang bersama IS.

NST diberitahu individu berkenaan, termasuk beberapa orang yang disenaraikan sebagai “berisiko tinggi”, ditahan di lapangan terbang di beberapa negara kerana “potensi risiko kepada keselamatan negara”.

Perisik tempatan berjaya mengesan 28 warga asing ini, lapor NST.

“Kita tidak tahu siapa mereka sebenarnya, tetapi mereka tidak sepatutnya dihantar ke Malaysia.

“Prosedur biasa, sebagai contoh, jika anda terbang dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ditahan di Jakarta, pihak berkuasa mesti mengusir anda ke Singapura kerana itu adalah tempat terakhir anda mendarat, bukan Kuala Lumpur,” kata sumber kepada NST .

Sumber mendedahkan ramai warga asing berlepas dari pelbagai tempat di dunia – Dubai, Singapura, Indonesia – sebelum ditangkap di Istanbul, Turki. Mereka sepatutnya diusir ke tempat terakhir mereka mendarat, sebaliknya mereka diberi “pilihan” untuk diusir ke Malaysia.

“Negara kita menjadi tempat lambakan pengganas dan ini mungkin kerana kita bukan sahaja negara bebas visa untuk dilawati buat banyak negara, kita juga negara Islam,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata.

Masalah lain melanda polis adalah beberapa negara yang mahu membuang individu yang tidak diingini, termasuk individu berfikiran pelampau, membantu mendapatkan dokumen perjalanan supaya mereka boleh masuk ke Malaysia sebagai pelancong.

Sumber dipetik sebagai berkata: “Lebih teruk lagi, individu berkenaan, yang merancang untuk menyertai IS tetapi digagalkan, kini berada di negara ini dan cuba mengelak dari dikesan.”

“Terdapat beberapa contoh di mana mereka memberi amaran mengenai “pengusiran” seperti itu kepada pihak berkuasa Malaysia tetapi itupun selepas individu berkenaan telah memasuki negara ini. Tidak mudah bagi polis mengesan mereka.”

Sebahagian mereka yang dibenarkan pergi ke Malaysia sebagai pelancong sudah dilabelkan agensi perisikan negara asal sebagai “berbahaya”.

Sumber itu berkata, polis berjaya mengesan dan mengusir sebahagian daripada mereka tetapi ada lagi yang masih bebas.

NST melaporkan bantahan tidak rasmi pernah dibuat terhadap negara yang diketahui kerap menghantar warga asing yang ditangkap atas sebab keselamatan ke Malaysia.

NST memetik Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata individu berkenaan menimbulkan risiko besar kepada keselamatan negara.

“Trend ini amat berbahaya kerana kita tahu mereka ini tidak dibenarkan masuk ke negara berkenaan kerana mereka mahu menyertai IS.

“Oleh itu, ada kemungkinan mereka mencari peluang merancang serangan di sini selepas matlamat mereka pergi ke Syria digagalkan.

“Penting bagi pihak berkuasa asing memaklumkan kepada kita sebelum mereka mengusir sesiapa sahaja ke negara kita,” katanya.

Ayob berkata setakat ini, 11 rakyat Malaysia antara mereka yang diusir dari Turki kerana cuba menyelinap ke Syria untuk menyertai IS.

Tiada ulasan: