Jumaat, 26 Mei 2017

Khairuddin saran PPBM segera tangani kemelut dalaman parti

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyarankan pucuk pimpinan parti itu menyelesaikan segera kemelut dalaman yang melanda supaya lebih fokus menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Ujarnya, sekiranya konflik tersebut segera ditangani, maka perjuangan bersama Pakatan Harapan (PH) dapat diperkukuhkan secara menyeluruh. 
 
"Saya berdoa supaya PPBM dapat selesaikan segala kemelut yang mereka hadapi secepat mungkin agar kita dapat memberi fokus untuk terus berjuang memenangi pilihanraya akan datang. 
 
"Bagi pihak saya, saya tidak berhak untuk masuk campur isu-isu dalaman parti PPBM namun sebagai seorang yang mendukung perjuangan PH saya sebagai seorang penyokong kuat Tun M (Dr Mahathir).
 
"Saya ketika saya berada dalam parti PPBM dahulu, saya tidak tahulah sama ada saudari masih ingat atau pun tidak, saya selalu berpesan kepada kepimpinan tertinggi parti PPBM. Jangan jadikan parti PPBM ini sebagai fotokopi kepada Umno," katanya ketika ditemubual Antarapos baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Khairudin turut menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang mengatakan bahawa beliau 'tidak sebulu' dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga mendorongnya bertindak keluar parti.
 
"Sebenarnya itu satu kenyataan yang berteraskan kepada persepsi. Saya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah bermusuh dan saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap beliau. Beliau pun tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan kepada diri saya.
 
"Apa yang diperkatakan adalah satu unsur cuba melaga-lagakan kami untuk pecahkan perpaduan kami. Pada hakikatnya pada realitinya saya dan Tan Sri Muhyiddn Yassin masih lagi sahabat. Beliau adalah rakan perjuangan Pakatan Harapan dan ini dan memberi erti juga beliau adalah rakan perjuangan kepada diri saya," tambahnya.
 
PPBM baru-baru dilatari konflik dalaman yang menyaksikan beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar parti dan meletakkan jawatan.
 
Bulan lalu, salah seorang pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman bertindak keluar parti kerana mendakwa kecewa dengan hala tuju parti yang terpesong, selain amalan 'kasta' dalam parti itu.
 
Terbaru, pada Selasa lalu, Exco Srikandi PPBM, Zulaiha Sidek mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana mendakwa sudah muak dengan kemelut dalaman yang melanda parti.
 
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
 
Malah baru-baru ini wujud pula desakan agar Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden selepas berlakunya kepincangan dalaman parti.
 
 

Tiada ulasan: