Khamis, 11 Mei 2017

Ketika Umno rai ulang tahun ke-71, timbul kebimbangan ia tewas di Johor

Ketika Umno rai ulang tahun ke-71, timbul kebimbangan ia tewas di Johor
Ketua Penerangan Umno Johor Samsol Bari Jamali berkata momentum yang dibina “Team Johor” di bawah Menteri Besar Khaled Nordin tidak akan terpecah oleh PH dan Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli,

MESKIPUN pemimpin dan penyokong Umno bakal meraikan sambutan ulang tahun ke-71 dengan gilang-gemilang hari ini, namun terdapat pemberontakan secara diam berlaku di kubu kuat di mana parti Melayu terbesar itu ditubuhkan, iaitu di Johor.

Kemungkinan kehilangan lebih banyak kerusi negeri dan Parlimen di kubu Umno itu dibincangkan oleh pemimpin Johor secara tertutup.

Sebab bermulanya sentimen seperti itu ialah: kemarahan dalam kalangan ahli parti Johor terhadap kepimpinan Umno Pusat di bawah Presiden Najib Razak dan percaya yang pentadbirannya tidak mengendalikan isu kehidupan harian seperti inflasi dan pengangguran golongan belia.

Seorang sumber dalaman Umno berkata pemberontakan itu diterjemahkan kepada lebih banyak sokongan orang Melayu kepada gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan oleh bekas pemimpin parti termasuk bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Ketua Penerangan Umno Johor Samsol Bari Jamali bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menegaskan momentum "Team Johor" yang disandang pimpinan Menteri Besar Khaled Nordin tidak akan dapat dirobohkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu.

"Setiap parti itu tiada masalah untuk beri motivasi sedemikian terhadap penyokong masing-masing dengan kata mereka kuat dan berpengaruh. Apa yang kami (Umno Johor) boleh katakan, kami ucapkan selamat berjaya kepada mereka," katanya dengan nada sinis.

Bersatu pada masa ini meletakkan dirinya sebagai satu parti alternatif berdaya maju untuk Melayu Johor, dan ia sesuatu yang agak mengagumkan memandangkan Umno dilahirkan di negeri itu dan wakil rakyatnya tidak pernah ditewaskan sehinggalah pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Umno akan terjejas teruk pada PRU akan datang tetapi ia mungkin tidak akan karam,” kata seorang sumber dalaman parti menggambarkan prospek Umno pada PRU akan datang.
Umno akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-71 besar-besaran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mei, 2017.
Umno akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-71 besar-besaran di Bukit Jalil, 
Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari,
Pemberontakan

Ada yang kata, orang Melayu Johor jenisnya mereka akan tetap tersenyum kepada seseorang walaupun mereka marah padanya, terutama sekali jika orang itu keluarga sendiri, kata Shukur Mohamad, dulu ahli Umno kini Bersatu.

"Marah orang Johor ini dalam senyum, mengata dalam gelap. Mereka berlapik untuk beritahu sesuatu," katanya kepada The Malaysian Insight.

Umno ditubuhkan di Johor pada 1946 di mana pada tahun itu pertubuhan Melayu menghantar wakil masing-masing untuk protes terhadap penjajahan British. Onn Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor dipilih sebagai pengerusi kongres ketika itu.

Keluarga ialah metafora yang digunakan ahli Umno Batu Pahat dan penyair tempatan Ramlee Wahab untuk menggambarkan ikatan antara parti itu dan ahlinya.

Banyak keluarga Melayu Johor yang mempunyai keturunan aktivis sejak zaman perang pada 1940-an.

Shukur antara contohnya. Bapanya ialah bekas ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz, sementara datuknya ialah aktivis yang bekerja untuk Onn Jaafar.

“Ahli Umno Johor diajar, walaupun anda tidak gembira dengan parti, jangan cakap mengenainya secara terbuka. Ia soal keluarga,” kata Ramlee, ahli Umno Batu Pahat yang juga seorang penulis.

Maksudnya di sini ialah ahli dan penyokong Umno Johor yang tidak berpuas hati tidak akan secara terbuka mengkritik dan bangkit menentang atau meninggalkan parti, berbanding ahli dari Kedah, Selangor atau Perak.

Tetapi Ramlee berkata pemberontakan secara senyap itu disifatkan seperti api dalam sekam kerana sebahagian rakyat Johor sendiri tidak menyuarakan ketidakpuasan hati secara terang-terangan kepada Umno tetapi akan memberontak habis-habisan ketika pilihan raya melalui undi.

Beliau berkata salah satu faktor utama yang mendorong perkara ini terjadi ialah isu kepimpinan presiden parti itu sendiri apabila gagal mentadbir negara dan permasalahan seperti ini mampu menjurus kepada perpecahan dalam parti.

"Kalau boleh yang mana koyak itu tampal. Contohnya jambatan di Batu Pahat itu dah tua dan ia boleh runtuh pada bila-bila masa saja jika tidak dibaiki," kata Ramlee berkias merujuk kepada Umno yang perlu membaiki kelemahan dalam parti dan kebajikan kepada rakyat.

Shukur yang kini menyertai Bersatu berkata partinya dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bergantung pada kemarahan rakyat Johor untuk menawan lebih banyak kawasan politik.

Parti dalam PH, DAP dan PKR pada masa ini memegang empat kerusi Parlimen dan 14 DUN. PAS mempunyai tiga kerusi.

Kira-kira separuh daripada 26 Parlimen dan 5 kerusi DUN di Johor dimenangi dengan majoriti kurang daripada 6,000 undi pada PRU13, kebanyakannya kerana pengundi bandar dan bukan Melayu.

Bersatu meramalkan ia mempunyai peluang 50-50 untuk menawan mereka dengan merayu undi Melayu.

Kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kerusi itu dimenangi dengan majoriti kurang 3,000 undi dan Shukur percaya PH ada peluang cerah untuk memenanginya.

“Kami Cuma perlu bekerja lima hingga enam kali lebih kuat berbanding BN (Barisan Nasional),” kata Shukur.

Isu harian dan kehidupan rakyat biasa

Isu utama yang membakar rasa kecewa terhadap Umno ialah kenaikan kos sara hidup.

Statistik kerajaan menunjukkan komponen makanan dan minuman tidak beralkohol dalam indeks harga pengguna, yang mengesan inflasi, meningkat dari Januari 2014 hingga Oktober 2016, walaupun harga petrol jatuh beberapa kali sepanjang tempoh itu, seiring harga minyak dunia.

Shukur berkata harga barangan di Johor lebih tinggi berbanding negeri lain akibat kebanjiran pembeli dari Singapura.

Kesannya ialah peniaga dan penjual di Johor cenderung menaikkan harga barangan untuk mengeksploitasi kadar tukaran mata wang dolar Singapura kepada ringgit.

Isu membabitkan golongan muda serta graduan seperti kekurangan kerja dan perumahan mampu milik juga isu besar di negeri itu, kata Shukur.

Seorang lagi pemimpin Bersatu Johor, Tariq Ismail berkata lepasan sekolah paling terjejas teruk apabila majikan di negeri itu lebih suka mengambil pekerja asing dengan gaji rendah.

Seorang lagi sumber dalaman Umno berkata kebanyakan kerusi di pantai barat Johor – yang membentuk lebih separuh daripada 56 kerusi DUN – sangat dalam bahaya, berisiko untuk tewas kerana pengundi muda.

Shukur berkata PH yakin dapat menawan hampir semua pengundi Johor yang berusia bawah 40 tahun.

"Mereka berumur 50 tahun ke atas membayangkan Umno yang dulu, mereka rasa terhutang budi pada parti ini sebelum merdeka, betapa susahnya untuk meraih kemerdekaan.

"Orang umur sebegini di Johor memang susah nak diubah sebab bagi mereka inilah parti yang menolong bangsa. Tapi kalau nak ubah arah tuju orang Melayu, kena ubah dari sekarang," katanya.

Wakil rakyat Umno Johor, Samsol Bari berkata Umno negeri itu amat yakin dengan prestasi kerajaan negeri sedia ada dan parti serpihan Umno itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dengan sekelip mata dengan memburukkan pentadbiran kerajaan negeri Johor.

“Kerajaan negeri yakin dengan pendekatan kami terhadap kebimbangan itu. Kami mengharapkan emosi serta sentimen penyokong dan pengundi Umno Johor tidak direncatkan dengan momokan dibawa oleh Bersatu,” katanya yang juga Adun Semarang.

Tiada ulasan: