Khamis, 4 Mei 2017

Kereta dinaiki 2 wanita dihanyutkan air dalam banjir kilat



Bernama
 

KUALA PILAH – Sebuah kereta dinaiki dua wanita dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Ulu Bendul di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian 4.35 pagi itu, kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki mangsa mengekori jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah ke lokasi kejadian untuk membantu enam mangsa banjir yang terperangkap di kampung berkenaan sebelum kereta itu dihanyutkan oleh arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata ketika jentera dinaiki tujuh anggota meredah banjir untuk ke lokasi kejadian, mereka menyedari kereta mangsa yang mengekori kenderaan mereka dihanyutkan oleh arus deras.

“Menyedari keadaan itu, dua anggota telah terjun menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kereta itu dan kedua-dua mereka selamat dan telah dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

“Ketika itu misi ialah untuk menyelamatkan enam mangsa yang terperangkap di kediaman mereka selepas rumah mereka dinaiki air sedalam 0.91 meter. Mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di kediaman mereka telah berjaya diselamatkan termasuk seorang daripadanya ialah Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, air banjir telah surut dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: