MELAKA: Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk
menghapuskan kegiatan judi haram yang terdapat di negeri Melaka, kata
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memandang serius perkara
tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas
mereka.
"Semasa saya mula-mula menjadi Ketua Menteri dahulu, kita pernah
menggubal undang-undang membenarkan pihak penguat kuasa memotong bekalan
elektrik terhadap mana-mana premis menjalankan kegiatan judi
haram,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru
peringkat negeri Melaka di sini pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi usaha yang
dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani kegaitan judi haram di
negeri Melaka.
Bagaimanapun, Idris enggan mengulas lanjut mengenai enam pegawai polis
di negeri ini dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan dengan
pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di sekitar Melaka.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memberi wang tunai RM500
kepada 449 guru di negeri ini yang bersara mulai 1 Jan hingga 31 Dise
2017 sama ada mereka yang bersara wajib atau secara pilihan sebagai
hadiah di atas sumbangan mereka mendidik anak bangsa.
"Pemberian tersebut juga adalah ''buah tangan'' kerajaan negeri kepada
guru-guru yang akan bersara sempena hari Raya Aidilfitri dan akan
disampaikan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh wakil rakyat
masing-masing sebelum hari raya," katanya.
Idris berkata guru menjadi model kepada pelajar, jadi guru seharusnya mempunyai akhlak tinggi dan agar menjadi ikutan pelajar.
Pada majlis itu, Othman Rejap, 71 tahun, Dr Rosnanaini Sulaiman, 62,
Kamaruddin Abdullah, 73, dan Suboh Ma''soom, 63 dipilih sebagai tokoh
guru bagi sambutan Hari Guru peringkat negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan