Selasa, 16 Mei 2017

Kepesatan teknologi buka peluang luas kepada penggiat industri terjemahan

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Kepesatan teknologi memberi peluang luas kepada penggiat industri terjemahan negara untuk memanfaatkan kemahiran mereka, kata Timbalan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Hasuria Che Omar.

Beliau berkata, ini kerana kemajuan teknologi membolehkan penggiat industri bekerja di tempat yang dikehendaki mengikut kesesuaian masa mereka.

“Sebagai contoh, mereka kini boleh mendapatkan ‘kerja’ menterjemah daripada penyedia perkhidmatan tv internet, iflix dan netflix. 

Kerja-kerja tersebut boleh dilakukan di mana sahaja termasuk di kediaman masing-masing seterusnya menghantar hasil kerja menerusi dalam talian,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas di sini hari ini.

Melahirkan kepuasan terhadap perkembangan industri itu, Hasuria yang juga Naib Presiden Institut Penterjemahan Malaysia berkata pihaknya akan terus memberi bimbingan kepada penggiat industri tempatan bagi meningkatkan tahap kualiti hasil kerja setanding dengan penggiat bidang yang sama dari luar negara.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam industri terjemahan bagi merancakkan lagi industri yang semakin mendapat tempat di negara ini sejajar dengan perkembangan dan kepesatan teknologi dewasa ini.

Beliau berkata, industri itu semakin mendapat sambutan daripada individu daripada pelbagai latar belakang antaranya peguam, ahli akademik, wartawan dan pesara.

“Golongan pesara khususnya dilihat membantu perkembangan industri memandangkan mereka mempunyai pengalaman daripada jawatan terdahulu yang boleh diguna pakai apabila terlibat dalam industri terjemahan ini,” katanya.

Senada dengan Hasuria, Penyelaras Program Sarjana Sastera Pengajian Penterjemahan Institut Pengajian Siswazah USM@Kuala Lumpur Dr Rokiah Awang berkata penglibatan individu pelbagai latar belakang profesion turut merancakkan industri berkenaan.

“Kebelbagaian itu akan membolehkan penggiat sedia ada mendapat manfaat serta dapat menjalankan kerja penterjemahan dengan lebih baik dan bermutu tinggi,” katanya.

Kata Rokiah, sebagai usaha berterusan membantu penggiat industri itu, Forum Terjemahan bertemakan ‘Kreativiti dan Kecekapan Dalam Penterjemahan: Satu Sinergi’ anjuran Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi USM akan diadakan Sabtu ini bertempat di Wisma Sejarah, di Jalan Tun Razak, di sini.

Katanya, forum sehari itu dibarisi tiga panel iaitu sasterawan negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, penterjemah terbaik Anugerah Terjemahan Negara Dewan Bahasa dan Pustaka-Institut Terjemahan Buku Malaysia Amir Muslim dan penterjemah profesional MalayTranslator.com Ursilan Afandi Zaki.

Forum yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat khususnya penterjemah profesional, penterjemah sambilan, pelajar terjemahan, ahli akademik dan ahli bahasa itu diadakan sebagai memberi pendedahan serta pengetahuan tentang bidang terjemahan, berkongsi petua dan mewujudkan rangkaian perhubungan dalam kalangan penterjemah.

Bayaran sebanyak RM50 dikenakan kepada setiap individu yang menyertai forum itu, katanya. – Bernama


Tiada ulasan: