Ahad, 14 Mei 2017

Kenapa Najib beria-ria mahu syarikat China bangunkan Bandar Malaysia?



Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Pelabur China nampaknya sudah mula menyedari sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat suka mempermainkan mereka.

Hasilnya, acara yang dinantikan Najib untuk syarikat Dalian Wanda Group yang dimiliki hartawan China, Wan Jianlin menandatangani perjanjian pelaburan sejumlah AS$10 bilion (RM43.4 bilion) dalam projek Bandar Malaysia tidak menjadi kenyataan.

Meskipun majlis menayangkan perjanjian persefahaman (MoU) kepada media, Wang bagaimanapun tidak menandatanganinya seperti yang diharapkan Najib.

“Mungkin ada dua sebab kenapa Wang kecewakan Najib dalam projek Bandar Malaysia,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lip Lim Eng dalam kenyataan, hari ini.

“Pertama, Wang mungkin mengambil isyarat daripada episod IWH-CREC dan bimbang pentadbiran Najib akan mencari masalah dengan kontrak baru mereka dan enggan mematuhi tanggungjawab di bawah kontrak terbabit.

“Kedua, Dalian Wanda Group sebagai salah sebuah konglomerat terbesar dunia langsung tidak ada sebarang sebab untuk masuk campur dalam projek Bandar Malaysia yang terkait dengan skandal 1MDB.”

Beliau merujuk tindakan TRX City Sdn Bhd membatalkan urus niaga penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH)-China Railway Engineering Cooperation (CREC).

TRX City adalah syarikat yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), manakala, CREC adalah syarikat 100 peratus milik kerajaan China.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan meragui niat sebenar Najib untuk membawa pelabur asing memajukan Bandar Malaysia.

“Kenapa lebihkan orang asing berbanding anak bangsa sendiri? Bukankah itu satu pengkhianatan kepada rakyat?” soalnya.

Najib, katanya, tidak sepatutnya berhadapan masalah untuk mencari pemaju tempatan untuk membangunkan Bandar Malaysia jika projek berkenaan dapat menjana keuntungan.

“Jika tidak ada satu pun syarikat tempatan mampu menjalankan projek tersebut, Najib boleh sahaja mencari sekumpulan konglomerat tempatan untuk menjalankan projek itu,” ujarnya. – Roketkini.com

 

Tiada ulasan: