Sabtu, 6 Mei 2017

Kekalkan pentadbiran Selangor sehingga mandat PRU13 berakhir - Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: "Peralihan kuasa di Selangor perlu ditangguhkan sehingga DUN negeri itu dibubarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)", kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau berkata jika peralihan kuasa berlaku dalam masa terdekat ia hanya akan mengundang rasa gelisah dan tidak tenteram rakyat negeri ini.
 
"Ya, saya fikir kalau pilihan raya sudah semakin hampir, tidak ada keperluan diwujudkan suasana yang tidak tenteram dalam konteks pentadbiran Selangor.
 
"Bagi pihak PAS, kita akan teruskan agenda sampai pilihan raya," katanya kepada Antarapos.
 
Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai kedudukan kerajaan Selangor yang didakwa banyak pihak sebagai berisiko berlaku peralihan kuasa berikutan Muktamar PAS minggu lalu meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. 
 
Semua ADUN perlu mendukung pentadbiran Azmin
 
Menurut Tuan Ibrahim lagi, PAS tiada halangan jika pentadbiran semasa melalui mandat rakyat pada 2008 diteruskan sehinggalah pembubaran DUN setahun akan datang.
 
"Apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini tentang usul memutuskan tahaluf, itu kira perkara yang kedua.
 
"Perkara yang lain akan kita putuskan kemudian dan kita tunggu keputusan daripada Majlis Syura," katanya.
 
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Tuan Ibrahim berharap agar komponen parti bersikap matang supaya kestabilan politik di Selangor tidak akan tergugat. 
 
"Saya lihat mandat yang diberikan oleh pengundi ialah mandat sehingga pilihan raya.
 
"Jadi bagi PAS, pentadbiran Selangor setakat ini tiada masalah apa-apa pun dan saya lihat rakyat pun boleh menerima pentadbiran yang dijalankan walaupun daripada pelbagai parti yang ada," katanya.
 
Justeru beliau berharap agar ADUN Selangor mendukung pentadbiran Azmin untuk menguruskan kerajaan dengan baik.
 
"Yang penting semua wakil rakyat memberikan sokongan kepada kepimpinan Azmin," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: