Jumaat, 12 Mei 2017

Kedudukan ADUN PAS di P. Pinang, Selangor kekal sehingga habis penggal

ANTARAPOS.COM

Post Pic



SHAH ALAM: Kerusi yang dimiliki oleh PAS di semua negeri, termasuk Pulau Pinang dan Selangor, akan kekal sehingga penggal berakhir kerana ia adalah mandat yang diberikan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohammad Fauzi Yusoff berkata, ia termasuk kerusi DUN Permatang Pasir yang disandang ADUN tunggal PAS di negeri itu, Datuk Salleh Man.

"Pemilihan PAS di Selangor termasuk ADUN tunggal Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man dibuat atas kekuatan mandat rakyat.

"Tambahan pula dia (Mohd Salleh) tidak memegang apa-apa portfolio, hanya Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Itupun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sebab itu saya kata, ia tak jadi masalah, kerja tetap jalan seperti biasa. Cuma yang perlu dijaga, hubungan parti dengan rakyat atas dasar kerajaan, tanggungjawab sebagai kerajaan. PAS akan jalankan tanggungjawab selagi rakyat mahu khidmat kita," katanya dipetik Sinar Harian.

Semalam, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengumumkan bahawa majlis itu menerima usul muktamar PAS untuk membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Nik Muhammad Zawawi berkata, keputusan itu dibuat kerana PKR melakukan begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Mengulas lanjut, Mohammad Fauzi berkata keputusan Majlis Syura tidak memberi kesan kepada parti itu khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ujarnya, ini kerana selama ini PAS bertanding atas kekuatan parti itu sendiri.

"Dengan terputusnya, keputusan Majlis Syura Ulama itu, ia bermakna hubungan parti dengan parti tidak akan berlaku selepas ini.  Yang ada hanya hubungan dengan kerajaan sahaja. Kita juga tidak akan bekerjasama dengan PKR pada pilihan raya umum akan datang.

"Keputusan itu tidak memberi masalah kerana selama ini, kita bertanding pun bukan atas Pakatan Rakyat, kita bertanding atas tiket sendiri.

"Pakatan Rakyat dibentuk atas persamaan sahaja. Tetapi apabila persamaan itu sudah tiada sekarang, maka secara automatiknya kita tidak akan bersama lagi," ujarnya. 


Tiada ulasan: