Jumaat, 12 Mei 2017

KBS minta Kerajaan kaji semula situasi ‘semasa’ di Korea Utara

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA :  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Kementerian Luar mengkaji semula perkembangan dan situasi semasa di Korea Utara dan keperluan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) ke negara berkenaan.

Ini berikutan kebimbangan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung keselamatan skuad Harimau Malaya yang akan bertandang ke Pyongyang bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 kumpulan B, 8 Jun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata beliau telah berhubung dengan pihak Wisma Putra mengenai perkara berkenaan dan keputusan mengenai perkara itu akan diketahui dalam masa terdekat.

“Nasihat Perjalanan ini sesuatu yang berat jika kita keluarkan kerana ia memberi implikasi termasuk menjejaskan hubungan dua hala, sedangkan hubungan bilateral dengan negara itu sedang dipulihkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani penajaan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017) di sini hari ini.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara, yang ditunda sebelum ini, akan tetap diadakan di Pyongyang, 8 Jun ini selepas FAM mengesahkan bahawa tiada sekatan perjalanan dikenakan oleh kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau menghormati keputusan Tunku Ismail yang tidak bersetuju untuk membenarkan pasukan kebangsaan bertandang ke Pyongyang bagi menghadapi perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu layanan tempat tinggal serta makanan yang dibangkitkan oleh presiden FAM itu.

“Kita menghormati keputusan beliau atas faktor-faktor keselamatan. Cuma kita sebagai kerajaan kita kena nilai dari pelbagai sudut,” katanya.

Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan media hari ini melahirkan kebimbangan beliau akan keselamatan skuad negara berikutan ketegangan situasi diplomatik antara Korea Utara dan negara luar yang lain.

Malaysia pada mulanya dijadual bermain menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac tetapi kerajaan melarang pasukan itu berlepas ke sana, atas sebab-sebab keselamatan.

Ia berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang menilai semula rayuan yang dikemukakan oleh FAM, Selasa lepas, supaya mempertimbangkan aksi pertama kumpulan B itu diadakan di venue berkecuali.

Ditanya seandainya Malaysia tetap bertegas enggan beraksi di Pyongyang, katanya, perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin AFC.

Tiada ulasan: