Jumaat, 26 Mei 2017

Kami terima sepenuh hati titah Sultan - Exco DAP

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: "Kami menerima dengan sepenuh hati", demikian kata seorang Exco DAP Selangor berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengekalkan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirao berkata, selaras keputusan berkenaan, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali akan berjalan seperti biasa demi kesejahteraan rakyat. 
 
"Kita akur dan menerima titah tuanku, saya percaya tentang kerajaan yang wujud sekarang yang dibawah Yang Berhormat Datuk Seri Azmin Ali.
 
"Jadi, kalau kami dah dibincangkan dan diberi taklimat tidak akan berlaku apa-apa tentang perkara (pengekalan) ini, itu lain cerita, tapi tentang titah Tuanku kami menerima dengan sepenuh hati" Katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Bagaimanapun tambahnya, kerjasama secara parti dengan parti antara PAS dengan DAP tidak akan berlaku selepas tahaluf siyasi kedua-dua parti terputus dua tahun lalu.  
 
"PAS dalam muktamarnya telah memutuskan hubungan dengan DAP, dengan pemutusan hubungan dengan DAP berakhirlah Pakatan Rakyat dua tahun lalu, pada kali ini pula PAS yang telah memutuskan hubungan dengan PKR.
 
"Saya rasa itulah akan menyebabkan cara acuan ataupun hubungan kerja antara politik secara 'litografi' akan menjadi berbeza kerana pendirian PAS," ujar beliau.
 
ADUN Kota Alam Shah itu menegaskan, titah baginda Sultan akan dijunjung kerana kerjasama di dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dengan parti merupakan dua perkara yang berbeza. 
 
"Tapi kerajaan negeri Selangor di bawah naungan kerajaan negeri Selangor, yang telah mendapatkan nasihat daripada Tuanku dan dengan Titah tersebut kerajaan akan berjalan seperti biasa, kalau permuafakatan politik saya percaya itu perkara lain," katanya lagi.
 
Dalam titah khas semalam, Sultan Sharafuddin berkenan dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mengekalkan ketiga-tiga Exco PAS dalam pentadbiran kerajaan sehingga pilihan raya yang akan datang.
 
Baginda bertitah selepas meneliti kesemua aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Selangor demi memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
 
 

Tiada ulasan: