Rabu, 10 Mei 2017

Kajian BERSATU: Rakyat Malaysia tak pasti skandal 1MDB

Koh Jun Lin


Satu kaji selidik yang dijalankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak pasti mengenai pelbagai aspek dalam skandal 1MDB.

Walaupun begitu, hanya 15 peratus daripada responden percaya bahawa RM2.6 bilion yang telah dipindahkan ke akaun bank Datuk Seri Najib Razak, datang daripada seorang penderma, seperti yang didakwa perdana menteri dan peguam negara.

Sebaliknya, 51.2 peratus daripada responden tidak percaya dakwaan itu, manakala 33.8 peratus tidak pasti.

Najib sebelum secara konsisten menafikan salah laku, manakala peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan wang berkenaan adalah derma daripada keluarga diraja Arab dan sebahagiannya telah dipulangkan.

Kaji selidik terhadap 3,000 responden itu telah dijalankan pada bulan Julai dan Ogos tahun lepas, meliputi sampel yang mewakili 30 kawasan parlimen di seluruh Malaysia.

Ia didahului oleh beberapa siri perbincangan kumpulan dan kajian awal yang bermula pada bulan April tahun yang sama.

Kajian ini telah dijalankan oleh beberapa ahli pengasas BERSATU sebelum parti itu secara rasmi didaftarkan pada bulan September.

Sejak itu kajian berkenaan diambil alih oleh Biro Dasar dan Strategi BERSATU.

Hasil daripada kajian itu disampaikan oleh ketua biro berkenaan, Datuk Rais Hussin pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata sembilan pensyarah universiti telah menjalankan kajian berkenaan.

Kaji selidik itu juga mendapati 50.8 peratus daripada responden berpendapat bahawa hutang 1MDB akan akhirnya ditanggung rakyat, berbanding 11.0 peratus yang percaya sebaliknya dan 38.1 peratus tidak pasti.

Bagaimanapun, pendapat terbahagi apabila responden ditanya soalan lain mengenai 1MDB, dengan kebanyakan responden mengatakan bahawa mereka tidak pasti.

Ini termasuk apabila responden ditanya sama ada Mahathir adalah betul dalam mengkritik perdana menteri mengenai isu 1MDB (49.9 peratus), sama ada pelaburan 1MDB telah hilang (43.0 peratus), dan sama ada media asing memutar belitkan isu 1MDB (50.9 peratus) .

Responden lebih pasti mengenai isu-isu sosio-ekonomi yang lain seperti sama ada GST adalah satu beban kepada rakyat.

Hanya 22 peratus responden tidak pasti, berbanding 75.2 peratus yang bersetuju dan 22.9 peratus yang tidak bersetuju.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: