Jumaat, 26 Mei 2017

Jumlah pengundi Dun tidak seimbang hasil manipulasi SPR

ARIF ATAN

Adly ZahariAdly Zahari
Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari menyifatkan sistem pilihan raya pada masa ini berat sebelah seperti dapat dilihat pada cadangan persempadanan semula.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menepati tuntutan rakyat untuk proses pilihan raya yang bersih dan adil apabila agihan pemilih di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak seimbang.

"Sebenarnya, sistem pilihan raya kita tidak adil. Dia (SPR) tidak menepati kehendak perlembagaan dan kehendak satu rakyat satu undi.

"Kita menang di Ayer Keroh dengan lebih 18,000 pengundi sedangkan Umno menang di Tanjung Bidara dengan kira-kira 6,000 pengundi sahaja.

"Satu Dun kita hampir sama dengan tiga Dun Umno itu. Punyalah Umno mahu menipu. Tapi bila kita bawa ke mahkamah, peguam kita, Ambiga tunjukkan Dun tidak seimbang dimanipulasi oleh SPR.

"Akhirnya hakim pada Jumaat lalu (12 Mei) berpihak kepada kita tangguhkan cadangan persempadanan baru itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Pakatan Harapan di Padang Temu yang turut dihadiri pemimpin PKR, DAP dan Bersatu baru-baru ini.

Mahkamah Tinggi Melaka pada 12 Mei lalu membenarkan permohonan penangguhan persempadanan semula yang dicadangkan SPR untuk kedua-dua kawasan parlimen dan negeri di Melaka.
Sehubungan itu, Adly memberitahu Melaka antara negeri yang berjaya menangguhkan cadangan persempadanan semula menjadikan persempadanan di negeri itu kekal seperti pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
"Kita buat sementara boleh menang hasil perjuangan rakyat. Ini usaha dan keberanian tujuh pengundi di Melaka termasuk wanita yang berani saman SPR.

"Kita menang saman tersebut buat masa ini. Tak patut kita penakut sebab rakyat biasa berani pertahankan (hak). Kita kukuhkan Pakatan Harapan, kita lawan Umno-BN pada pilihan raya ke-14 akan datang," tegasnya.

Tujuh plaintif memfailkan permohonan penangguhan persempadanan semula pada 4 April lalu dengan diwakili oleh peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Mereka adalah Chan Tsu Chong, Neo Lih Xin, Azura Talib, Lim Kah Sheng, Norhizam Hassan Baktee, Amir Khairudin dan Amran Atan.

Mengulas tentang situasi Pas pada masa ini yang dijangka menjadi penyebab pertembungan tiga penjuru, Adly menyifatkan parti yang memusuhi Pakatan Harapan itu tidak mempunyai kekuatan lantaran sudah mengambil sikap bersendirian.

"Saya lebih 20 tahun dalam Pas dari paling bawah sehingga berjawatan tinggi. Bermula dengan RM800 kerja dengan Pas. Saya tahu kekuatan parti itu. Walaupun kita hilang rakan-rakan dari Pas tetapi Allah hadirkan parti PPBM sebagai rakan baru Pakatan Harapan.

"Saya yakin Dun Telok Mas, Machap dan banyak lagi Dun akan dimenangi Pakatan Harapan," tambahnya lagi.

Cadangan persempadanan semula di Melaka antara lain menyaksikan jumlah undi pembangkang di kerusi Dun Bukit Katil berkurangan manakala undi di kerusi Dun Kota Melaka akan meningkat.

Selain Melaka, kerajaan negeri Selangor juga berjaya memperoleh perintah penangguhan terhadap inkuiri tempatan SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman berhubung persempadanan semula itu.

Tiada ulasan: