Khamis, 25 Mei 2017

Jika Anwar gagal jadi PM, apa strategi PKR seterusnya?

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Apakah PKR sudah mempunyai pelan alternatif sekiranya strategi menaikkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-7 menemui jalan buntu?
 
Itu persoalan yang ditimbulkan bekas pemimpin DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim sambil menyifatkan idea Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu sebagai 'tidak berguna'.
 
Rafizi menerusi Kongres Nasional Tahunannya minggu lalu memberi sokongan padu agar Anwar diangkat sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Rafizi juga mendesak pembebasan Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwat.
 
"Itu hanyalah gimik politik. Saya ingat strategi sebegini tidak berguna," ujar Tunku Aziz dalam temubual secara eksklusif dengan Antarapos.
 
"Harapan mereka mahu Anwar dibebaskan, mendapat pengampunan Diraja dan sebagainya. Namun itu semua spekulasi. Maka tidak boleh untuk harapkan perkara sedemikian terjadi. 
 
"Jika tidak terjadi bagaimana pula? Jika benar mereka serius hendak menjadi kerajaan selepas ini, mereka perlu ada calon yang ada kredibiliti," katanya lagi.
 
Rafizi sebelum ini tampil dengan pelbagai rancangan untuk membebaskan Anwar, termasuklah dengan mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
 
Dalam menanti pembebasan Anwar, PKR juga mahu Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan perdana menteri sementara.
 
"Jika mereka hendak letak Wan Azizah sebagai PM sementara, itu tidak boleh. Ini bukannya perkara main-main. Ini perkara serius, mentadbir kerajaan, menjamin keamanan dan kestabilan negara. Kesemua perkara ini bukan kerja mudah," ujar Tunku Aziz.
 
Tunku Aziz juga meragui kemampuan Wan Azizah yang didakwanya juga gagal dalam memimpin parti.
 
"Kita sudah lihat, sebagai Presiden PKR pun, Wan Azizah nampak kelam-kabut.
 
"Wan Azizah bukanlah seorang yang bijak di dalam urusan kerajaan persekutuan. Ia sebuah kerajaan yang kompleks, maka bukan senang hendak menjadi PM," katanya.
 
Wan Azizah ketika diwawancara agensi berita antarabangsa sebelum ini tanpa berselindung mengaku tidak kisah untuk menjadi perdana menteri sementara dan akan menyerahkan jawatan itu kepada suaminya, apabila beliau selesai menjalani hukuman penjara kelak.
 
 
 

Tiada ulasan: