Selasa, 16 Mei 2017

Jawatan EXCO bukan senang-senang boleh lucut: Abdul Hadi



ISMA WEB
 



KUALA LUMPUR Jawatan Exco yang disandang oleh ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor tidak boleh dilucutkan dengan mudah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia kerana PAS mengadakan bai’ah iaitu rukun yang mengikat pemimpin dan rakyat dengan hukum Allah dan ia diwajibkan kepada setiap calon bertanding dalam pilihan raya.

“Setelah mereka menang terus diikat dengan bai’ah. Inilah jawatan EXCO yang dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang tidak boleh diberhentikan dengan sewenang-wenangnya, bukan dengan mencabut secara mudah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS berpegang kepada beberapa komponen utama dalam menubuhkan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan negeri iaitu yang pertama adalah Islam sebagai agama negara.

“Yang keduanya pula, institusi raja berperlembagaan wajib dihormati dan rakyat yang mengundi juga wajib diambil kira, bukan sahaja parti yang bertanding dan calon yang menang dipilih rakyat sama ada di atas nama dirinya atau parti,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi mengingatkan PKR agar jangan terlalu bermain politik tanpa memandang kepada segala komponen sistem pemerintahan yang menjadi rukunnya.

“Peristiwa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat, ‘Langkah Kajang’ yang salah dan membebankan rakyat serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sepatutnya menjadi pengajaran,” katanya.


Tiada ulasan: