Jumaat, 5 Mei 2017

Jangan layan ‘Say No To DASH’

 
Gerakan Sokongan DASH mendakwa hanya dua peratus penduduk yang bantah manakala 98 peratus menyokong pembinaan lebuh raya itu


Adlan-Abdul-Razak-,no-dash


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor diminta supaya bertegas dan tidak melayan karenah kumpulan yang membantah pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menggelarkan kumpulan mereka Say No To DASH.

Timbalan Pengerusi Gerakan Sokong DASH, Adlan Abdul Razak berkata, kumpulan itu hanya mewakili minoriti yang menentang manakala majoriti mahukan lebuh raya itu dibina bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Hanya dua peratus penduduk yang bantah dan 98 peratus lagi sokong, kerajaan negeri jangan terlalu melayan bantahan itu, fikirlah majoriti yang menyokong. Kerajaan jangan takut mereka, kena fikir 98 peratus yang menyokong itu melibatkan banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apabila bantahan dilayan semua akan mula bantah dan projek tidak dapat dijalankan. Ia menjejaskan pelaburan Negeri Selangor. Bila tangguh kos pembinaan akan meningkat dan memberi kesan besar kepada rakyat, ” katanya kepada FMT.

Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘Say No To DASH’,mendakwa Barisan Nasional (BN) lebih baik membuat perancangan struktur pembangunan di Selangor berbanding kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana gagal membela nasib mereka.

Kumpulan itu mendakwa kerajaan Selangor tidak mempedulikan bantahan pembinaan DASH dan surat-surat bantahan yang dihantar sejak beberapa tahun lalu tidak dibalas oleh kerajaan negeri.

Adlan, yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UITM) berkata, kerajaan negeri telah mematuhi segala ketetapan yang dibuat sebelum pembinaan dijalankan.

“Bantahan yang dibuat ‘Say No To DASH’ amat tidak berasas, mereka dakwa jarak pembinaan 11 meter dari penempatan mereka, sebenarnya 13 meter. Semua ini telah dipatuhi kerajaan negeri,” katanya.

Dia berkata, DASH dapat menyelesaikan masalah lalulintas, bukan sahaja di Shah Alam tetapi juga di Persiaran Surian, Kampung Melayu Subang, Subang Bestari, Subang Perdana dan Jalan Lapangan Terbang Subang.

“Bila DASH dibina dia tidak akan bawa trafik turun ke lebuhraya SPRINT tetapi akan bawa ke Pencala Link sekaligus mengurangkan kesesakan yang berlaku dikawasan berkenaan,” katanya

Tiada ulasan: