Selasa, 16 Mei 2017

Jamal umum calon PRU-14 Sungai Besar awal

Wartawan MalaysiaGazette
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos (tengah) 
bersama calon-calon PRU-14 yang dipilih sendiri semasa merasmikan 
Bilik Gerakan BN Sungai Besar malam tadi.


KUALA LUMPUR – Belum ada pengumuman rasmi mengenai PRU-14 tetapi calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Besar sudah diumumkan awal-awal lagi.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos malam tadi sudah mengumumkan calon BN Parlimen Sungai Besar dan dua calon Dewan Undangan Negeri di kawasan berkenaan.

Bagi calon Parlimen Sungai Besar beliau mengekalkan penyandangnya, Budiman Mohd. Zohdi manakala ADUN Sungai Panjang calonnya Datuk Imran Tamrin dan calon ADUN Sekinchan pula ialah Ng Boon Keong.

Imran merupakan peguam dalam Gerakan NGO Selangor yang diketuai Jamal.

Jamal berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan UMNO Cawangan Bahagian Sungai Besar dekat sini malam tadi.

Pengumuman itu bermakna Jamal sekali lagi tidak mahu dinamakan sebagai calon walaupun menjadi ketua bahagian.

Sebelum itu, Jamal juga menolak cadangan beliau menjadi calon BN dalam PRK Sungai Besar.
“Inilah calon-calon kita dan saya akan mempertahankan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya pucuk pimpinan BN mahu DUN Sekinchan ditandingi calon UMNO, beliau berharap ahli-ahli MCA memberi sokongan penuh.

Mengenai pelancaran awal Bilik Gerakan BN Sungai Besar, Jamal berkata, ia perlu bagi menghadapi PRU-14 dan misi menawan semula Selangor.

Bilik gerakan itu akan dibuka selewat-lewatnya bulan Ramadan nanti dan beroperasi 24 jam.

“PRU kita tak boleh halang sama ada kita masih ada atau tidak ia tetap datang cuma lambat atau cepat sahaja,” katanya.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: