Rabu, 31 Mei 2017

Isu Sivarasa: Azmin sudah mengadap Sultan Selangor

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau sudah mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berhubung tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, yang didakwa berceramah berkaitan politik di sebuah masjid, Rabu lalu.
 
Memetik laporan Bernama, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, Sivarasa juga telah menemui beliau bagi menjelaskan keadaan.
 
Azmin bagaimanapun enggan memberitahu butiran lanjut daripada pertemuan berkenaan.
 
"Saya telah mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bagi menjelaskan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.
 
Rabu lalu, Sivarasa dilaporkan memasuki Masjid An Nur Kampung Melayu Subang, Klang sebagai mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum didakwa menyampaikan ceramah berkaitan politik ketika berada di dalam dewan solat.
 
Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat PKR itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.
 
Bagaimanapun jelas Azmin, Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan tetapi ia adalah majlis anjuran pejabat ahli parlimen itu sendiri.
 
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita terhadap tindakan Sivarasa yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.
 
Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.
 
Sivarasa dalam reaksinya menafikan menyampaikan ceramah berunsur politik, sebaliknya berkata beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri berkenaan.
 
Ujarnya juga, kehadirannya di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak.
 
Menurutnya, beliau hadir untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: