Isnin, 8 Mei 2017

Iskandar Samad terlalu cemerlang, kata Sallehin Mukhyi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic


SHAH ALAM: Datuk Iskandar Abdul Samad bukan tidak bagus, malah terlalu cemerlang dalam melaksanakan tugasnya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, kata Sallehin Muhkyi.

Sallehin yang diangkat menggantikan Iskandar berkata tugas yang lebih besar menanti Naib Presiden PAS itu, justeru beliau berbesar hati untuk membantu meringankan beban bekas penyandangnya itu.

"Iskandar Samad ditukar bukan kerana khidmat dia tidak bagus. Bahkan khidmat dia sangat bagus dan sangat cemerlang memimpin PAS Selangor.

"Pertukaran itu melibatkan satu tugas besar yang terpaksa dipikul oleh Datuk Iskandar Samad yang sebelum ini dia Pesuruhjaya PAS.

"Jadi, kali ini dia ada misi dan tugas yang dia perlu lakukan jadi sebab itu Presiden minta supaya kerja-kerja itu berfokus. Maka, dikurangkan beberapa bebanan-bebanan yang selama ini yang terpaksa dihadapi oleh beliau," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Sallehin berkata demikian mengulas keputusan PAS Pusat melantiknya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor bagi penggal 2017-2019, menggantikan Iskandar.

Tambah ADUN Sabak itu, rombakan lantikan barisan kepimpinan AJK PAS Pusat adalah proses biasa yang dilakukan setiap dua tahun.

"Tapi proses itu adalah biasa bagi memastikan tugas besar kali ini yang PAS Pusat telah letakkan pada beliau di peringkat Pusat itu jauh lebih besar.

"Kena pula tahun ialah tahun pilihan raya. Maka sebab itu tugas itu perlu diagihkan dan tidak hanya tertumpu kepada seorang pimpinan sahaja," katanya.

Ketika ditanya mengenai tugas yang baru digalasnya Sallehin berkata akan membawa prinsip dan matlamat parti sepertimana diarahkan PAS Pusat di Selangor dalam memperkukuhkan politik Islam.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengumumkan rombakan itu pada Sabtu memberitahu, tugas yang lebih berat menanti tiga Naib Presiden parti.

Iskandar adalah antara tiga Naib Presiden PAS.

Selain Iskandar, turut menerima nasib yang sama Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Pesuruhjaya PAS Johor) dan Saiful Bahri Mamat (Pesuruhjaya PAS Terengganu).

Semalam Antarapos melaporkan Mahfodz sebagai berkata 'beliau sendiri yang meminta agar tidak dilantik kembali, kerana mahu fokus kepada jawatan Ketua Dewan Ulama PAS'

Tiada ulasan: