Jumaat, 12 Mei 2017

Ibu pejabat JJPTR diserbu, keterangan kakitangan diambil bantu siasatan

Ibu pejabat JJPTR diserbu, keterangan kakitangan diambil  bantu siasatan
Polis menyerbu ibu pejabat JJPTR, mengambil keterangan 10 kakitangan dan merampas barangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
Pihak berkuasa mengambil 10 orang pekerja JJPTR dari ibu pejabat perdagangan forex tidak berlesen itu di Jalan Perak, Pulau Pinang tengah hari tadi selepas serbuan yang mengambil masa sejam.

Ketika polis keluar dari pejabat yang terletak di tingkat satu rumah kedai pada kira-kira jam 4 petang, mereka membawa replika cek kosong, sekurang-kurangnya lima beg dan satu kotak besar.

Seorang pegawai, yang membawa dokumen dan MyKad yang dipercayai milik pekerja JJPTR itu, berkata yang polis sedang mengambil keterangan daripada 10 pekerja itu.

“Kami membawa pekerja ke balai polis untuk dokumentasi. Mereka tidak ditahan. Kami difahamkan yang mereka hanya bekerja di sini.

“Kami meminta media untuk tidak mengambil gambar mereka. Sila beri kerjasama,” katanya kepada wartawan yang berkumpul di luar pejabat itu.

Dia enggan memberikan nama balai polis kesemua pekerja itu dibawa.

“Kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan. Tolong tunggu Bukit Aman buat sidang media,” seorang pegawai memberitahu media sebelum semua benda yang diambil dari pejabat dimasukkan ke dalam kereta polis.

Hampir 20 orang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat itu tengahari tadi.

Khamis lepas, Pengarah Komunikasi CCID Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan mengumumkan yang polis sudah membekukan lima akaun bank JJPTR.

Pejabat di Jalan Perak masih dibuka seperti biasa bagi memberikan perkhidmatan pelanggan kepada pelabur JJPTR, yang cuba mendapatkan kembali duit mereka daripada syarikat itu.

JJPTR, menurut pengasasnya Johnson Lee, ditimpa masalah apabila akaun perdagangan mereka digodam, sehingga menyebabkan kerugian melebihi ASD$ 400 juta (RM1.7 bilion).

Syarikat itu, yang dilaporkan mempunyai lebih 400,000 pelabur di Malaysia dan beberapa negara lain, sudah mengembalikan wang kepada pelabur baru, yang duit mereka masih belum didagangkan dan mereka yang tidak memperolehi kapital mereka, sejak awal bulan ini.

Awal bulan ini, JJPTR juga mengembalikan pelaburan kepada ahli kelainan upaya.

JJPTR berada dalam senarai amaran pelanggan kewangan BNM yang menjadikan mereka syarikat atau laman sesawang yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada yang dipantau bank pusat itu.

Satu pasukan tindakan khas- terdiri daripada BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, SSM, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara- ditubuhkan bulan lepas bagi menyiasat skim perdagangan duit itu.

Tiada ulasan: