Selasa, 2 Mei 2017

Ibrahim Ali tulis surat kepada PBB jawab tuduhan Hindraf

 
Kandungan surat Hindraf menggambarkan Malaysia turut bersubahat, tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin terhadap perkara berkaitan keganasan, kata Ibrahim.
 
 
 
ibrahim-ali-ctc


KUALA LUMPUR: Selepas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menulis surat kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kehadiran Zakir Naik di Malaysia, Perkasa juga menulis surat balas kepada badan dunia itu.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, selepas membawa surat Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy mengenai Zakir, beliau beranggapan banyak perkara yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Surat ditujukan kepada Pengerusi CTC Amr Abdellatif Aboulatta di New York dihantar menggunakan Pos Laju.

“Kandungan surat itu menggambarkan seolah-olah Malaysia turut bersubahat, tidak ada tanggungjawab, sekaligus umat Islam negara ini, tidak prihatin terhadap perkara berkaitan keganasan,” kata Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Perkasa dalam surat mereka berkata Hindraf membuat tuduhan palsu terhadap Zakir dan menyasarkan beliau sejak “sami-sami mereka” tewas kepada Zakir dalam beberapa sesi debat.

“Kami percaya Zakir Naik mangsa fitnah,” kata surat itu.

“Hindraf juga secara eksplisit menuduh Zakir melatih anak didik dalam ideologinya dengan restu pimpinan kerajaan sedia ada. Tuduhan ini tidak benar kerana Zakir menyebarkan mesej Islam dan bukan ideologi tersendiri.”

Hindraf 29 April lalu dalam suratnya menggesa CTC menasihat Malaysia agar membatalkan status penduduk tetap yang diberikan kepada Zakir, ekoran pelbagai laporan yang mengaitkan penceramah kontroversi itu kepada aktiviti berkaitan terorisme.

Beliau berkata, tindakan itu amat diperlukan memandangkan Zakir enggan pulang ke India bagi menghadapi siasatan dan juga tuduhan di negaranya.

“Kami menulis kepada anda dengan harapan anda boleh menangani isu ini dengan membawa kepada perhatian perwakilan Malaysia dalam CTC mengenai kebimbangan akan bahaya (kehadiran Zakir) kepada publik di Malaysia dan kemudaratan jangka panjang secara langsung dan tidak langsung di peringkat domestik dan juga antarabangsa,” kata Waythamoorthy.

Kerajaan baru-baru ini mendedahkan, selepas desakan daripada Hindraf dan lain, Zakir diberi PR 5 tahun lalu.

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India untuk disoal siasat mengenai pengubahan wang dan aktiviti berkaitan pengganas. Beliau melarikan diri dari India dan tidak pulang sehingga kini.

Beliau dilaporkan dilarang memasuki United Kingdom dan Kanada, selepas dikatakan menyokong kumpulan pengganas. Julai lepas, kerajaan Bangladesh mengharamkan Peace TV, saluran oleh Zakir, susulan dakwaan ia menghasut terorisme.

Perkasa meminta PBB supaya mengabaikan isu ini, dan fitnah serta tuduhan liar terhadap Zakir. “Perkasa percaya kepada prnsip tiada orang bersalah sehingga dibuktikan bersalah.”

Sebaliknya, menurut Perkasa, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan pada 2007 berkata ada bukti yang menunjukkan Hindraf cuba mendapatkan sokongan dan bantuan daripada gerakan pengganas antarabangsa.

“Bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail mendakwa Hindraf terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam,” kata surat itu, merujuk kepada organisasi militan yang disenaraikan sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Ditanya pemberita mengenai surat itu, Ibrahim berkata Perkasa tidak berhasrat untuk berlawan dengan Hindraf.

“Saya tidak berlawan dengan Hindraf atau Waythamoorthy, saya sekadar ke depan sebagaimana dia menulis surat, saya juga mengambil tindakan yang sama untuk pertahankan kebenaran,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: