Sabtu, 27 Mei 2017

Harga Proton dijangka tidak turun

Harga Proton dijangka tidak turun
 

PELUANG untuk pembeli menikmati harga kereta Proton lebih murah mungkin tidak akan menjadi kenyataan walaupun syarikat China telah membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton Holdings Bhd.

Bagaimanapun, hasil kerjasama Geely Holding dengan syarikat pengeluar kereta nasional ini bakal menyaksikan kereta Proton mampu meningkatkan jualan apabila menembusi di peringkat antarabangsa sedikit masa lagi.

Demikian Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad memberitahu Sin Chew Daily.

"Buat masa ini, harga kereta Proton boleh dianggap murah, cuma apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan teknologi setanding dengan kereta luar negara," katanya.

Kata Aishah, ramai pihak masih menantikan bagaimana bentuk kerjasama yang dimeterai oleh kedua-dua syarikat ini dalam usaha meningkatkan keupayaan Proton untuk bersaing di peringkat global.

"Apakah Proton mampu mengeluarkan jenis kereta yang berteknologi, murah dan menepati cita rasa ramai. Itulah perkara utama perlu diperhatikan," katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, DRB-Hicom menjelaskan, perjanjian tersebut membolehkan Proton memanfaatkan platform meluas dan rangkaian kuasa Geely Holding.

Ia turut membolehkan Proton mempunyai akses ke pasaran sedia ada pengeluar kereta China itu dan pasaran di sebelah rantau Asia Tenggara.

Tiada ulasan: