Selasa, 16 Mei 2017

Harga gula patut lebih murah, kerajaan tak perlu tunduk desakan pengeluar





 Roketkini.com

JOHOR BAHRU: Kerajaan sepatutnya menurunkan harga gula pasir bertapis kasar memandangkan harga pasaran gula mentah dunia jauh lebih rendah berbanding harga yang ditetapkan kerajaan sekarang iaitu RM2.95 sekilogram (sekg).

Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata, menurut laporan International Sugar Organisation dari November 2016 sehingga April 2017 harga pasaran gula mentah dunia berlegar antara AS$0.155 sepaun dan AS$0.2095 sepaun.

“Dan sehingga 12 Mei 2017, harga pasaran gula mentah dunia adalah AS$0.1592 sepaun iaitu bersamaan RM1.53 sekg, jika mengambil kira tukaran AS$1 bersamaan RM4.37. Manakala harga purata dalam 15 hari adalah AS$0.06 iaitu lebih kurang RM1.54 sekg.

“Justeru, kerajaan sepatutnya menurun harga gula kerana harganya sekarang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran gula mentah dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media berhubung permintaan pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings untuk kerajaan menaikkan harga bahan tersebut 29 sen sekg lagi atas alasan untuk mengekalkan keuntungan.

Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) yang memegang 51 peratus pegangan saham syarikat pengeluar itu berkata, harga gula mentah yang tidak stabil, ditambah dengan kejatuhan nilai ringgit mengakibatkan syarikat mengalami cabaran.

Pada 1 Mac lepas, harga gula pasir putih bertapis yang juga barangan terkawal dinaikkan sebanyak 11 sen sekg, menjadikan harga baru RM2.95 dari RM2.84.

Mengulas lanjut, Chen Choon yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, jika kerajaan yang ditadbir UMNO-Barisan Nasional (BN) tunduk kepada desakan pengeluar gula, ia menandakan bahawa parti pemerintah itu melindungi kepentingan kroni berbanding rakyat.

“Gula adalah bahan asas untuk makanan dan minuman, harganya memberi impak yang besar kepada harga makanan dan minuman dan merupakan faktor yang mempengaruhi kadar inflasi,” katanya menambah peningkatan kadar inflasi akan melonjakkan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji kebolehlaksanaan penentuan harga gula secara sistem apungan terkawal dengan penetapan harga syiling dan seterusnya mengumumkan mekanisme tersebut kepada rakyat. – Roketkini.com


Tiada ulasan: