Rabu, 17 Mei 2017

Hapuskan monopoli gula bukan naikkan harga


OLEH Gooi Hsiao Leung
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Zakaria Arshad selaku Presiden Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengenai gesaan menaikkan harga gula sebanyak 40 sen sekilo seharusnya tidak dilayan oleh Kerajaan Umno BN.

Pada 1 Mac yang lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengesahkan kenaikan harga gula sebanyak 11 sen daripada RM 2.84 kepada RM 2.95 untuk setiap satu kilogram.

Adakah hanya selepas dua bulan berlalu, Kerajaan Umno BN tergamak untuk menaikkan harga gula sekali lagi sebanyak 29 sen apabila bulan puasa ramadhan dan perayaan Eid al-Fitr semakin dekat dalam sebulan dua lagi.

Setelah kerajaan menarik balik subsidi gula dalam bulan Oktober 2013, harga borong gula telahpun naik ke RM2,680 satu ton. Pada masa yang sama, MSM Malaysia telah menaikan harga produk premium seperti caster, icing, dan “brown sugar” sebanyak 30%.

Manakala kini, harga gula mentah antarabangsa telah turun kepada US$0.15 setiap paun
berbanding kepada harga US$0.22 setiap paun dalam bulan November dan Disember lalu. Jadi tidak ada justifikasi mengapa harga gula perlu dinaikkan lagi untuk membebankan rakyat?

Kerajaan hari ini sanggup meragut lebih wang rakyat melalui GST, kini peningkatan kos sara hidup menjadi beban terhadap rakyat kebanyakan.

Adakah barisan Najib Razak mahu melihat rakyatnya lebih menderita dengan kenaikan harga barang?
Harapan rakyat adalah supaya Kerajaan Umno BN tidak peduli dengan gesaan pengeluar ini.

Meskipun jika dilihat situasi sebelum ini, setiap kenaikan harga barang bermula dengan gesaan pihak tertentu, seolah-olah ada kerjasama tersembunyi antara kerajaan dan pengeluar untuk ‘menghalalkan’ perlaksanaan harga barang.

Sebaliknya, kerajaan Umno BN seharusnya menghapuskan dasar monopoli gula yang selama ini menguntungkan individu-individu tertentu sehingga memperoleh hasil mencecah berbilion ringgit.

Kerajaan sepatutnya membuka ruang persaingan untuk industri gula agar harga gula dapat bersaing di pasaran domestik untuk memastikan harga pasaran yang paling rendah. Dengan berlakunya ‘perang harga’ dan mekanisme harga siling, kerajaan sebenarnya mampu memastikan rakyat tidak berbeban dengan harga gula semata-mata.

Saya menggesa Umno BN bertindak untuk menghapuskan monopoli, di mana yang kaya bertambah kekayaan rakyat pula semakin derita.

* Gooi Hsiao Leung adalah Ahli Parlimen Alor Setar, Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan: