Rabu, 24 Mei 2017

Hamidah akui wujud kemelut dalam PPBM

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
  
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman mengakui wujudnya kemelut dan pergolakan dalaman yang menjadi punca Exco Srikandinya, Zulaiha Sidek mengambil keputusan meletakkan jawatan. 
 
Hamidah yang terkejut dengan perkembangan terbaru itu, sekali lagi menggesa supaya pucuk pimpinan parti serpihan Umno itu untuk turun padang bagi melihat secara mendalam permasalahan yang berlaku di dalam parti.
 
"Saya pun tidak tahu hendak cakap apa. Saya rasa kalau sudah semua orang cakap maknanya benda itu wujud. Dan seharusnya pucuk pimpinan PPBM tidak bolehlah mengambil sikap berdiam diri lagi. Kena kaji selidik apa sebenar permasalahan dan cuba tangani secara bijaksana dan secara efektif.
 
"Saya rasa perkara ini, ketidakselesaan ini memang wujudlah tetapi sejauh mana PPBM dapat menanganinya?
 
"Sebab kalau perkara ini terus dibiarkan, siapa sahaja keluar, kita kata mereka itu orang yang kecewa, orang Umno, pengkhianat, saya rasa masalah ini takkan selesai," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Awal hari ini, Zulaiha mengumumkan peletakan jawatannya  kerana mendakwa sudah muak dengan kemelut dalaman yang melanda PPBM.
 
Selain menjadi exco Srikandi kebangsaan, Zulaiha juga ialah Ketua Penaja Srikandi PPBM Bahagian Batu Gajah.
 
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
 
Dalam pada itu, Hamidah ketika ditanya mengenai desas-desus beliau akan keluar parti itu tidak lama lagi, dilihat masih berteka-teki.
 
"Bukan pada masa ini lah. Itulah jawapan saya," jawabnya ringkas.
 
Sebelum ini, sumber Antarapos mendedahkan Hamidah bakal keluar parti dalam masa terdekat namun enggan mengulas lebih lanjut bersabit perkara tersebut.
 
 

Tiada ulasan: