Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat minggu hadapan bagi
menentukan kedudukan tiga Exco PAS di Selangor selepas Majlis Syura
memperakui keputusan menamatkan hubungan tahaluf siyasi antara parti
itu dengan PKR Khamis lalu.
“Kita di peringkat PAS Pusat akan bermesyuarat hujung minggu ini untuk
menentukan tindakan politik melibatkan tahaluf siyasi dan juga antaranya
melibatkan kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor," kata Ketua
Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali,
“Tiada apa-apa sehingga kita putuskan di peringkat jawatankuasa PAS Pusat,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
Khairuddin enggan mengulas lanjut laporan media bahawa tiga exco PAS
diarah meletak jawatan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin
Ali yang juga Timbalan Presiden PKR namun mengingatkan risiko politik
yang ditanggung oleh PKR.
“Bagi pihak PKR atau kerajaan negeri Selangor, terpulang dekat dia lah
apa yang dia nak betindak, itu di luar kuasa kita. Tapi, kedudukannya,
mereka kena ingatlah kerajaan (negeri) itu goyah tanpa PAS.
Justeru beliau berharap pihak berkenaan menghormati hakikat bahawa PAS
adalah sebahagian daripada kerajaan negeri yang dibentuk hasil
kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa cuma kita menyatakan bahawa negeri
Selangor itu, kerajaan Selangor itu adalah milik bersama, hasil PRU13.
Tapi oleh kerana kuasa di tangan Azmin, kalau itu diperkenankan oleh
Tuanku, sila lah,” ujarnya lagi.
Selain PAS, Pakatan Rakyat ketika itu merangkumi DAP dan PKR yang
bagaimanapun bertindak menubuhkan Pakatan Harapan bersama Amanah, iaitu
serpihan PAS.
Semalam Azmin Ali memaklumkan bahawa kedudukan tiga Exco PAS di
Selangor iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan
Zaidy Abdul Talib kekal sehingga Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).
Namun laporan media memetik sumber mendakwa Azmin sudah meminta mereka melepaskan jawatan masing-masing pada satu perjumpaan.
Bagaimanapun Iskandar yang juga Naib Presiden PAS, menafikan menerima arahan sedemikian daripada Azmin.
Malah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas, tiga
exco berkenaan tidak keberatan berundur jika Azmin sudah memperolehi
perkenan Sultan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan