Ahad, 14 Mei 2017

Dasar Bersama Pakatan Harapan sudah dirangka hadapi PRU 14

Oleh Aliff Fikri

ph

PETALING JAYA: Pakatan Harapan mengumumkan gabungan itu kini sudah mempunyai kerangka Dasar Bersama dalam agenda menghadapi Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14).

Menurut Ketua Setiausaha Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, kerangka dasar itu dihasilkan melalui rundingan dengan beberapa pihak.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak seperti masyarakat awam, golongan profesional, ahli akademik, golongan pekerja, institusi-institusi dan lain lagi bagi membantu merangka dasar bersama.

“Dasar Bersama Pakatan Harapan ini akan mengandungi matlamat, tujuan, asas dasar dan falsafah. Bagi menjayakannya kami akan mengadakan rundingan secara rasmi dengan semua pihak berkepentingan, ahli akademik, ‘think tank’ dan lainnya.

“Sebelum ini memang sudah ada beberapa siri rundingan tapi tidak dibuat secara formal. Kita menerima banyak input daripada pelbagai pihak dan sebagai parti inklusif kita ambil pandangan semua pihak,” katanya dalam sidang media.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu menegaskan, Pakatan Harapan juga turut mengambil kira kajian politik dari pelbagai pihak dan NGO.

Ujar beliau, Pakatan Harapan turut telah berkomunikasi dengan beberapa pihak tersebut untuk mengadakan konsultasi secara tertutup.

“Apa yang penting matlamat kami untuk mendapatkan input untuk jadikan tawaran Pakatan Harapan benar-benar inklusif daripada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini bermesyuarat buat kali pertama dan mesyuarat seterusnya akan diadakan setiap minggu secara bergilir-gilir di ibu pejabat parti gabungan.

Antara pimpinan lain yang hadir ialah Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Amanah, Annuar Tahir; Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Tiada ulasan: