Sabtu, 13 Mei 2017

DAP dakwa Dun Sarawak salah guna kuasa

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

GEORGETOWN - Dun Sarawak didakwa menyalahguna kuasanya selepas melucutkan keanggotaan wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan berkenaan tidak patut dilakukan berikutan mahkamah telah menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Dun Pujut yang difailkan calon BN.

Menurutnya, tindakan melucutkan jawatan Tiong Choon itu juga dilihat berbaur politik.

"DAP amat terkejut dengan keputusan yang dibuat Dun Sarawak dan ia jelas menunjukkan satu penyalahgunaan kuasa oleh kuasa mutlak majoriti BN. Mahkamah sudah putuskan bahawa pemilihan Tiong Choon sebagai sah.

"Namun Dun Sarawak telah membelakangkan keputusan mahkamah apabila melucutkan keanggotaan Tiong Choon daripada Dun negeri itu. Ini tidak pernah berlaku," katanya.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang merasmikan Program Pengasingan Sisa di Punca di Kasun Air Putih di sini.

Beliau berkata, kes itu akan dibawa ke mahkamah untuk memperolehi keputusan yang sebenar.

"Kita akan lawan di mahkamah dan pada masa sama, saya sudah mengarahkan DAP Sarawak agar bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya kecil. Walaubagaimanapun, lawan tetap lawan di mahkamah.

"Kita betul-betul tak sangka Dun Sarawak boleh buat keputusan ini. Selepas ini, tak suka saja, dilucutkan. Kalau ini Sarawak boleh buat, Dun di negeri lain pun boleh buat. Pulau Pinang pun boleh buat tapi kita tak nak sebab kita mengamalkan demokrasi," katanya.

Oktober tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Miri menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Dun Pujut yang difailkan oleh calon langsung BN, Datuk Hii King Chiong.

Ia ditolak atas dua alasan yang dibangkitkan semasa bantahan awal oleh peguam pihak responden mengenai isu bayaran deposit sekuriti RM10,000 dan peraturan mengemukakan tiga salinan petisyen kepada mahkamah.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, sekiranya berlaku masalah teknikal pada keputusan tersebut, ia perlu diputuskan oleh mahkamah.

"Kalau ada masalah pada keputusan mahkamah itu, biar mahkamah putuskan mengikut undang-undang. Mereka (Dun Sarawak) tak ikut keputusan mahkamah sebab ia tidak mengikut selera mereka.

"Ini yang dinamakan salah guna kuasa. Suka suka lucutkan jawatan tanpa menghiraukan keputusan mahkamah," katanya.

Kelmarin, usul bagi melucut kelayakan Tiong Choon sebagai Adun Pujut diluluskan dalam persidangan hari Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dun Sarawak ke 18.

Sebanyak 17 Adun menyokong manakala 10 menentang usul tersebut.

Tiong Choon dikatakan mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia setelah lama bermastautin di sana.

Tiada ulasan: