Jumaat, 12 Mei 2017

Cantas senarai panjang kuasa PM, MB

ANALISIS oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dikawal pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi menghadapi tuduhan kes rasuah.Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dikawal pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi menghadapi tuduhan kes rasuah.

Dalam satu kaji selidik, kepercayaan masyarakat awam terhadap orang politik begitu rendah sekali. Mereka disyaki mengamalkan rasuah dan tumbuk rusuk, sering menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri, kroni dan suku-sakat.

Tinjauan rawak terhadap anak-anak muda yang tidak berminat mendaftar sebagai pengundi juga disebabkan kecurigaan yang sama, iaitu orang politik tinggi kerakusan-kegilaannya kepada kuasa dan wang. Isteri dan anak-anak juga tidak segan-silu mempamerkan kemewahan luarbiasa termasuk dalam status facebook.

Semasa mendedahkan kes-kes rasuah seorang menteri besar pada tahun 2001, saya menekankan bahawa bukan hanya kerana senarai salahlakunya  yang panjang, maka tokoh itu merupakan menteri paling korup di  Malaysia.

Lebih ramai bernasih baik

Kebetulan ada sumber yang dekat dengan MB berkenaan  yang menyalurkan maklumat dan fakta kes kepada saya, atau mungkin juga disebabkan masih mentah sebagai ketua eksekutif negeri, beliau tidak mahir untuk menyamarkan aktiviti jenayahnya.

Dan saya percaya, ramai lagi personaliti besar dalam Umno-BN yang terbabit atau sekurang-kurangnya terpalit dengan amalan makan suap itu. Cuma mereka bernasih baik kerana jenayah terkutuk itu sukar dikesan dan tiada maklumat yang bocor.

Sesungguhnya rasuah merupakan jenayah yang paling sukar dikesan berbanding, misalnya jenayah bunuh atau rompak, apabila saksinya tidak bersedia ke depan dan mangsanya pun payah dikenalpasti.

Hampir tiada "mangsa" dalam jenayah korupsi kerana, dalam banyak keadaan, pemberi dan penerima mendapat habuan-kepentingan masing-masing.

Atau, walaupun sudah ada laporan yang dibuat kepada SPRM (dulu BPR), tetapi ia didiamkan begitu sahaja kerana pengadu tidak menghebohkannya. (Saya difahamkan, mengikut undang-undang, menjadi kesalahan bagi pengadu yang membuat hebahan kepada awam tentang kandungan laporan rasuah).

Restu-izin perdana menteri

Manakala banyak juga kes, terutama berprofil tinggi, yang memerlukan restu-izin pihak tertinggi untuk membuat pendakwaan di mahkamah walaupun fakta kesnya lengkap dan mencukupi. Jabatan Peguam Negara dilihat tertakluk sepenuhnya dengan kehendak Perdana Menteri. Kes berkaitan skandal mega 1MDB merupakan contoh klasik apabila hampir semua institusi strategik yang terbabit dalam siasatan diceroboh dan pegawai terbabit dipindahkan atau disingkirkan.

Saya turut dimaklumkan oleh sumber, dalam kes rasuah membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan tokoh yang dekat dengan menteri berkaitan, SPRM dikatakan terpaksa memilih untuk mendakwa kakitangan awam itu dan melepaskan orang politik.  "Seseorang harus dikambing-hitamkan kerana kes ini sudah terdedah luas kepada media. Pegawai tinggi itu dan anaknya pula tidak segan silu mempamerkan kekayaan luar biasa kepada awam," jelas sumber.

Seolah-olah ada mekanisme tersendiri oleh perdana menteri untuk menangani kes-kes rasuah menterinya. Dan pilihan ke mahkamah adalah opsyen terakhir yang amat jarang digunakan kecuali apabila kesetiaan tokoh politik itu kepada pernah menteri sudah hilang. Kerap juga fail kes korupsi dijadikan bahan ugutan atau permainan tarik-tali untuk sesuatu motif politik perdana menteri.

Bayangkan, untuk memulakan tindakan undang-undang kepada menteri rasuah terpaksa rujuk perdana menteri, maka usahlah berangan-angan untuk melihat orang paling berkuasa di negara ini dihukum kerana kesalahan mencuri puluhan bilion ringgit wang rakyat. Tiada lagi doktrin pengasingan kuasa apabila ketua eksekutif memonopoli segalanya, dengan kuasa tanpa sempadan.  Hilang fungsi semak dan imbang.

Mekanisme politik

Malah dalam kes menteri besar yang saya adukan 16 tahun lalu itu, seorang menteri yang menjaga undang-undang memberitahu: "You pun faham Lutfi, kes besar seumpama ini hanya akan diselesaikan menerusi kaedah-kaedah politik juga, atau jika terpaksa akan digunakan daleh kesihatan sebagai sebab untuk mengundurkan diri. Atau mungkin hanya selepas pencen dan tidak berkuasa lagi barulah kita berpeluang melihat dia dibicarakan di mahkamah."

Saya juga teringat wawancara eksklusif dengan bekas menteri Dr Rais Yatim, ketika itu Timbalan Presiden Parti Semangat 46 di pejabat guamannya, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar Jun 1993.  Saya bertanyakan kaedah terbaik menangani masalah korupsi.

"Cara meminimumkan rasuah ialah mengurangkan kuasa menteri, pegawai pentadbir atau kuasa itu disahamkan bersama," jelas Rais, yang membuat kajian PhD dalam bidang berkaitan. Kajian itu kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku, pada pertengahan 1990-an, "Freedom Under Executive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy."

Dalam temubula yang disiarkan majalah Tamadun itu, beliau memberi contoh, selain perdana menteri, kuasa menteri besar atau ketua menteri itu begitu besar, terutama berkaitan tanah, hutan dan hasil bumi.

Minimumkan kuasa

"Kuasanya melebihi bidang menteri persekutuan kecuali Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri," katanya. "Cuba kita senaraikan semua kuasa mereka dan bahaskan senarai itu dalam satu jawatankuasa khas untuk dinilai semula bagi meminimumkan kuasa yang jatuh kepada seseorang," tambah Rais. 
Merujuk kes rasuah terkini, khususnya membabitkan projek hartanah di Johor, saya terkesan dengan bicara seterusnya Rais, 20 tahun lalu itu: "Rumah merupakan industri yang pekat dengan rasuah. Dari mula memohon tanah, rasuah diberi. Menukar syarat tanah, rasuah diberi. Mendapat sijil kelayakan (CF) rasuah diberi. Sampai kepada siapa yang harus menghuni rumah, rasuah juga diberi. Rasuah berlaku di pelbagai peringkat, dari Pejabat Daerah sampailah kepada pejabat pemegang kuasa tertinggi."
Dan pastinya tidak akan melupakan kata-kata Rais sebelum saya mohon pulang tengahari itu:  "Satu lorekan mata pena (tandatangan) perdana menteri, menteri mahu pun menteri besar, boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dalam sekelip mata. Dan ini mesti dibetulkan."

Apabila berkunjung ke Johor baru-baru ini, saya agak hairan bagaimana menteri besar boleh berlepas tangan dengan kes korupsi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatannya. Antara dakwaan ke atas anggota exco terbabit adalah penipuan dan rasuah dalam penukaran status Lot Bumiputera kepada "Bumi released" (pelepasan daripada status lot Bumi.

Kes rasuah Johor

Sambil minum pagi, di sebuah restoran mamak di Taman Skudai, saya minta penjelasan Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad. Mengikut Dasar Perumahan Rakyat Johor, 40 peratus daripada unit-unit kediaman yang dibina pemaju hendaklah dikategorikan sebagai Lot Bumiputera dengan harga diskaun 15 peratus lebih rendah daripada harga jualan pemaju.

Walaupun ada kelonggaran diberikan  jika selepas sembilan bulan daripada tarikh jualan dibuka atau projek perumahan telah siap 50% maka jika ada unit Lot Bumi  yang masih belum terjual, maka pihak pemaju boleh mohon pertukaran status lot itu kepada "Bumi released" daripada kerajaan negeri.

"Bila kerajaan menerima permohonan pemaju, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membuat kertas kerja untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi yang dipengerusikan Menteri Besar  untuk kelulusan.

"Setelah diluluskan Jawatankuasa Hasil Bumi sekali lagi kertas ini akan diangkat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) Negeri Johor yang juga dipengerusikan  MB Johor untuk diluluskan," kata Dzulkefly, yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah.

Teladani pemimpin bersih rasuah

Kesimpulannya, tambah beliau,  dalam proses penukaran syarat status Lot Bumi,  Menteri Besar Johor yang meluluskannya sama ada di peringkat JK Hasil Bumi atau MMK. "Ia boleh dikaitkan sama ada bersubahat, jika dalam pengetahuannya rasuah itu berlaku, atau 'negligence', jika tidak mengetahui rasuah itu berlaku, kerana sebagai pengerusi mestilah mengambil langkah-langkah yang munasabah dalam meluluskan sesuatu permohonan," tambahnya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Gelang Patah menasihatkan kerajaan  Johor supaya tidak dilihat seperti bersaing dalam soal kleptokrasi seperti Sabah, melalui skandal rasuah mega melibatkan agensi bekalan air negeri itu.

Khaled Nordin digesa  membuat usul khas di persidangan Dun terdekat bagi mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negeri berkenaan. Usul itu, harus disertakan dengan langkah-langkah bagi menangani skandal rasuah hartanah.

"Khaled harus ingat bahawa Johor telah melahirkan dua pemimpin tegar penentang amalan rasuah dalam sejarah negara – Presiden Umno pertama, Datuk Onn Jaafar dan anaknya, Tun Hussein Onn.
Adalah menyedihkan bagi negeri Johor, yang mana telah melahirkan dua tokoh penting sebegitu, jika ia akhirnya menjadi negeri kleptokrasi seperti Sabah,” ujarnya.

Reformasi institusi strategik

Sesungguhnya, selain memastikan pemimpin eksekutif yang anti-rasuah. proses reformasi institusi strategik, termasuk meminimumkan bidang kuasa menteri, amat diperlukan segera untuk memerangi korupsi. Media independen yang berani membongkar salahlaku elit penguasa serta hak rakyat untuk mengetahui maklumat yang tersorok di bawah "rahsia kerajaan" mesti dikembalikan.

Itu langkah awal jika kita benar-benar serius mahu menangani musuh nombor 1 negara, dengan tidak mengabaikan usaha berterusan memperkasakan wibawa dan integriti SPRM.

Tiada ulasan: