Jumaat, 26 Mei 2017

'Cadangan sekolah Inggeris Umno bertujuan pancing undi’

MALAYSIAKINI


Seorang pemimpin PKR mempersoalkan sama ada sokongan Pemuda Umno yang mahukan sekolah aliran Bahasa Inggeris dijadikan sebagai perantaraan dalam sistem pendidikan di negara ini dibuat semata-mata untukmemancing undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR, Datuk Seri R Santhara Kumar berkata pelajar di negara ini dibuat seperti "tikus makmal" setiap kali pendidikan menteri bertukar.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun pada 24 Mei lalu yang berkata dirinya menyokong supaya lebih banyak sekolah Inggeris diadakan di Malaysia.

“Kenyataan seumpama ini adakah hanya sekadar untuk memberi harapan kepada pengundi bangsa tertentu pada PRU akan datang?

“Saya bercakap bukan sebab tidak suka akan Bahasa Inggeris tetapi kita mesti bersikap realistik.
“Dasar pendidikan negara ini seperti makmal uijikaji, setiap kali portfolio menteri pendidikan bertukar dan pada masa itu jugalah polisi baru ditukar.

“Pelajar-pelajar di sekolah ini seperti 'tikus makmal' dibuat oleh kerajaan Umno BN,” kata Santhara dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan wujud di negara ini melainkan berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan sekarang adalah emartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan dan pada masa yang sama penguasaan Bahasa Inggeris terus dipertingkatkan.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan skim kelas tambahan untuk pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris.

“Dasar diskriminasi Umno BN dengan menyediakan tenaga pengajar dan pelajar yang hanya
mengikut kaum tidak akan dapat membantu menyelesaikan permasalahan pendidikan di negara ini.

“Tambahan pula, bajet pendidikan yang dipotong saban tahun menyebabkan ramai di antara pelajar cemerlang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

“Ini sesuatu yang rugi buat negara,” katanya.

Khairul Azwan pada dialog Transformasi Negara 2050 (TN50) dengan kumpulan pendidikan berkata beliau secara peribadi menyokong inisiatif supaya lebih banyak sekolah Inggeris ditubuhkan di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak pasti sama ada dasar semasa akan membolehkan penubuhan sekolah sedemikian, sambil menambah perlu ada beberapa perubahan dasar.


Tiada ulasan: