Sabtu, 6 Mei 2017

Budaya membaca: Buku ilmiah terlalu ‘seram’





Oleh Rahman Imuda



Beberapa hari lepas saya membaca berita tentang kemenangan buku 99 Kata-kata Qalif Moden hasil tulisan Fattah Amin bagi kategori buku popular di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

 Saya tidak berniat untuk membahaskan isu buku Fattah Amin ini, tapi kemenangan buku ini memberikan gambaran yang jelas kepada kita tentang tabiat membaca kebanyakan rakyat Malaysia.

Saya perlu berlaku jujur untuk menyatakan buku-buku yang menghimpunkan kata-kata ringkas beserta gambar-gambar yang boleh ditemukan di internet tidak menjadikan masyarakat kita bertambah pintar. Saya rasa kita semua menyedari buku-buku seperti ini tidak dibeli kerana kandungan buku tetapi kerana si penulis merupakan orang yang popular atau mempunyai rupa paras menawan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar malu apabila buku-buku seperti ini mendapat anugerah terpopular, sekali gus membawa maksud buku ini menjadi topik perbualan dan perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika kita mempunyai impian untuk menjadi negara yang rakyatnya memiliki pemikiran kelas pertama, segalanya harus bermula dengan buku. Buku terpopular seharusnya dirangkul oleh buku-buku ilmiah atau seminimalnya buku-buku yang membincangkan idea, hikayat bermesej atau buku berunsur kemanusiaan.

Menurut laporan akhbar Harian Metro 23 September 2015, purata bacaan untuk mahasiswa hanya 4 buku setahun. Jumlah ini jauh ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan negara-negara seperti Australia dengan 180 buku, Indonesia (94), India (130), Thailand (56) dan Brunei 26 buku. Saya sengaja menjadikan mahasiswa sebagai contoh kerana mereka adalah golongan yang sepatutnya paling banyak membaca di sesebuah negara. Malangnya ia tidak berlaku di Malaysia. Menurut laporan yang sama, statistik membaca bagi golongan lain adalah 8 hingga 12 buku setahun, satu jumlah yang masih sedikit jika ingin dibandingkan dengan negara-negara lain.

Saya melihat usaha-usaha untuk memupuk semangat membaca di peringkat akar umbi tidak kurang hebatnya tetapi mungkin masih kurang rohnya. Sebagai contoh, di peringkat sekolah rendah diperkenalkan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah untuk membaca, pelajar yang membaca akan diberikan anugerah.

Saya berpandangan kelemahan utama yang ada dalam program ini adalah pelajar kurang diberi penekanan tentang kepentingan dan keseronokkan membaca, anak-anak kecil ini selalu diberi tekanan untuk menyiapkan buku rekod Nilam. Pelajar yang gagal menyiapkan buku rekod Nilam akan didenda, sudahlah sistem pendidikan kita ‘menekan’, mahu membaca pun harus ditekan.

Akhirnya pelajar-pelajar ini membaca dengan penuh tekanan dan matlmat bacaan mereka hanyalah untuk mengisi buku Nilam atau merangkul hadiah. Saya fikir sudah masanya rakyat kita sedar bahawa membaca akan menjadi tunjang kepada kemajuan sesuatu bangsa.

Sopan tapi malas berfikir

Sikap malas berfikir dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan satu penyakit yang akan menjadikan negara kita tidak bergerak ke mana-mana. Apabila saya melemparkan kritikan terhadap buku-buku yang tidak memajukan masyarakat, ramai yang berkata ‘biarlah dia nak buat apa’ atau ‘kau ada tulis buku?’ Jika kritikan-kritikan terhadap industri buku dimatikan dengan hujah-hujah seperti ini, maka percayalah lambakan buku yang mendungukan masyarakat akan diterbitkan
.
Sikap bersangka baik dan berlembut sememangnya sudah sebati dengan masyarakat kita, hal ini menyebabkan orang yang mengkritik ‘sesama bangsa’ dilihat sebagai kurang ajar atau tidak sopan.

Mengkritik bukanlah bermaksud kita menjatuhkan maruah atau berlaku kurang ajar, tetapi kita tidak mahu budaya mendungukan masyarakat terus berlaku, lebih-lebih menggunakan buku sebagai instrumen. Kita tidak boleh menggunakan alasan ‘tidak sopan’ untuk tidak mengkritik perkara-perkara yang difikirkan perlu kerana kritik-saranlah yang akan menjadikan kita lebih berfikiran kritis.

Sedangkan buku-buku ilmiah yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk disiapkan akan menerima kritikan-kritikan yang hebat, apatah lagi buku-buku yang memaparkan tulisan-tulisan dan gambar-gambar yang berlambak di internet.

Isunya bukan sopan atau tidak sopan, tetapi keperluan mengkritik hal yang difikirkan salah.

Pada hujung minggu ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 akan berakhir. Pada pemerhatian saya, acara setahun sekali ini merupakan ‘syurga buku’ untuk para penggemar buku. Sekali-sekala untuk tujuan mengusik, saya bertanya dengan kawan-kawan mengapa kurang membeli buku-buku ilmiah dan lebih gemar membeli buku yang ‘santai’ atau ‘ringan’? Jawanpan paling popular yang saya terima adalah mereka mengatakan buku ilmiah terlalu ‘menyeramkan’.

Kita memang memerlukan buku-buku yang ‘menyeramkan’ ini, lebih-lebih jika ia melibatkan ilmu-ilmu yang penting. Menyeramkan di sini bermaksud buku-buku ilmiah terlalu sukar untuk dibaca, ia memerlukan fokus, cari gali dan ilmu untuk memahami teks yang ada, sesuatu yang tidak digemari oleh kebanyakan orang awam.

Saya fikir para penulis buku ilmiah harus cuba berasimilasi dengan trend penulisan yang ada, tetapi pada masa yang sama tetap menjaga kualiti ilmu dan bahasa. Beberapa syarikat penerbitan sedang melakukan usaha-usaha ini, mereka cuba membawa penulis-penulis yang menggunakan gaya penulisan yang santai, tetapi masih mempunyai input-input yang berguna. Ini adalah satu budaya yang sihat dan wajar untuk disambut baik oleh para pembaca.

Peribahasa membaca jambatan ilmu masih lagi relevan sehingga hari ini. Namun, kita perlu selalu meneliti bahan bacaan yang ada sebelum membaca. Untuk menjadi bangsa yang disegani, buku-buku yang popular seharusnya dikuasai oleh buku-buku yang memberi pencerahan kepada masyarakat. Yakinlah, bangsa membaca adalah bangsa yang berjaya, terutamanya jika mereka membaca dengan betul.

*  Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa 

Tiada ulasan: