Rabu, 17 Mei 2017

‘Budak Sentul’ bertarung harumkan nama negara melalui sukan MMA

Oleh Noel Achariam
‘Budak Sentul’ bertarung harumkan nama negara melalui sukan MMA
Agilan Thani anak muda berjiwa besar yang bersedia untuk dinobatkan sebagai juara One FC Welterweight Malaysia yang pertama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 
 
MENJELANG umurnya 16 tahun petarung sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) Agilan Thani berasa hidupnya berdepan situasi paling buruk.

Mempunyai berat badan mencecah 139 kilogram, Agilan menjadi sasaran pembuli secara berterusan daripada kejiranan ganas di Sentul dan sekolah, di mana semua orang tahu dia budak lelaki gemuk yang ditinggalkan ibu.

Pada satu hari, Agilan menonton filem Cina bertajuk “SPL: Sha Po Lang”, yang dibintangi pelakon diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pengamal seni mempertahankan diri Donnie Yen.

"Dalam filem itu, terdapat adegan berlawan yang menarik perhatian saya. Ia membuatkan saya terpesona dengan seni mempertahankan diri.

"Saya mula menyelidik jenis seni mempertahankan diri yang Donnie Yen amalkan, dan terpaut dengannya."

Agilan, kini berusia 22 tahun, tidak lagi pernah menoleh ke belakang.

Dia menyertai kelas jiu-jitsu Brazil di Petaling Jaya, dan berjaya mengurangkan 10kg dalam tempoh tiga bulan. Pencapaian ini mendorongnya terus mencuba dan menghilangkan lebih banyak berat badan.

Semasa berusia 18 tahun, dia mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci di gimnasium Monarchy MMA di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur. Dia dibayar RM1,000 sebulan, dan semua kelas latihan gimnasium yang ingin diambil.

Agilan berkata pada masa itu, dia mula berminat dengan MMA, sukan tempur “full-contact” yang membolehkan teknik memukul dan bergelut serta menggunakan teknik daripada sukan tempur dan seni mempertahankan diri lain.

"Saya mula serius dan berlatih keras sukan Muay Thai, jiu-jitsu Brazil, tinju dan mengikut diet sihat. Dalam tempoh enam bulan, saya berjaya turun daripada 129kg kepada 93 kg."

Tekad untuk menjadi yang terbaik dalam sukan itu mendorong Agilan, yang kini berjaya mengekalkan berat badan antara 77kg hingga 84kg, meninggalkan rumahnya dan "berpindah" ke gimnasium pada usia 18 tahun.

"Saya mahu berdikari dan menumpukan perhatian kepada latihan, jadi saya meninggalkan rumah.
"Selama setahun, saya tidur di atas tikar latihan di gimnasium. Saya dibayar RM1,000 dan selepas setahun saya mendapat tempat sendiri di Jalan Ipoh,” katanya mengenang kembali keputusan yang membawa kepada kedudukannya hari ini sebagai seorang daripada petarung terkenal MMA di negara ini.

Tiada ulasan: