Selasa, 9 Mei 2017

Betulkah Najib 'hilang sabar', tanya PAS

MALAYSIAKINI



PAS mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhenti berdiam diri dan tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar susulan pendedahan oleh The Financial Times, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, semalam akhbar perniagaan dan ekonomi antarabangsa berkenaan mendedahkan Najib sendiri yang membatalkan perjanjian bernilai RM7.3 bilion itu kerana didakwa 'hilang sabar' ekoran kegagalan China Railway Engineering Corp (CREC) mendapatkan pembiayaan.

"Jika benar, PAS menggesa PM berhenti berdiam diri dan tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar.

"Menariknya, susulan kekecewaan tersebut, (Presiden 1MDB) Arul (Kanda Kandasamy) tampil berjanji akan membuat satu pengumuman penting mengenai 1MDB pada 5 Mei yang lalu.

"Malangnya, belum sempat beliau berbuat demikian, timbul pula ura-ura bahawa Arul telah disingkir daripada daripada lembaga pengarah syarikat Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kerana 'konflik kepentingan'," katanya dalam kenyataan.

Pagi ini, DAP juga meminta agar Kementerian Kewangan perlu berterus terang mengenai penyingkiran mengejut Arul dari jawatan utama dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd, kata DAP.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, penyingkiran Arul Kanda dari kedua-dua entiti tersebut adalah 'perkara yang besar'.

Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mempersoalkan penyingkiran itu dengan berkata, Arul Kanda adalah penting dalam perjanjian yang dimeterai antara Bandar Malaysia dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dengan konsortium China Railway Engineering Corp (CREC).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS mengulangi gesaan agar Arul dapat mendedahkan segalanya sebelum beliau dikambing hitamkan.

"Itu pembebasan sebenar daripada tanggungjawab yang beliau pikul terhadap 1MDB ini," katanya lagi.


Tiada ulasan: