Ahad, 7 Mei 2017

Beri peluang rakyat ada pendapatan kedua

Ainul Asniera Ahsan
Profesor di Jabatan Matematik dan Stastistik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Zuhaimy Ismail. foto SAFWAN MANSOR,

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mewujudkan ruang dan peluang supaya rakyat di negara ini boleh menjalankan dua kerja bagi menambah pendapatan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Sudah sampai masanya kerajaan secara agresif membentuk garis panduan kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan melalui dua pekerjaan.

Pada masa sama, peluang mendapatkan dua pekerjaan tambahan perlu dikuatkuasakan melalui polisi memandangkan kebanyakan pekerjaan kini dimonopoli oleh pendatang asing.

Profesor Dr. Zuhaimy Ismail dari Jabatan Sains Matematik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia berkata, perkara itu perlu menjadi strategi kerajaan dalam usaha membantu rakyat yang amat terkesan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.

“Dulu masa ekonomi sangat baik, kita tidak perlu peluang dan ruang ini tetapi apabila kos sara hidup terus meningkat kerajaan perlu mewujudkan pekerjaan tambahan agar rakyat yang terkesan boleh mendapat pendapatan lain.

“Benda ini bukan luar biasa, di England dan Amerika Syarikat peluang pekerjaan kedua sentiasa ada. Di Iraq, pensyarah mereka juga buat dua kerja.

“Bagaimanapun, di Malaysia, kebanyakan peluang pekerjaan kedua seperti menjadi pekerja di kaunter, diambil oleh pekerja asing kerana polisi pengambilan pekerja dalam kalangan warga luar tidak ada kawalan.

“Yang menjadi pekerja di kedai, di kaunter adalah warga Bangladesh, Indonesia dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelasnya, golongan yang berpendapatan rendah dan menetap di bandar antara golongan yang memerlukan pendapatan kedua agar miskin bandar dapat ditangani.

Dr. Zuhaimy berkata, jika peluang dan ruang ini diberikan kepada rakyat, kerajaan tidak lagi terbeban sehingga perlu menaikkan gaji dengan lebih kerap dan rakyat tidak dibiarkan jadi miskin.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar syarikat-syarikat yang mengambil pekerja tempatan untuk melakukan kerja kedua diberikan insentif seperti pelepasan cukai tertentu.

Ini penting kerana pekerja asing sudah menguasai dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga peluang rakyat Malaysia semakin tiada.

“Kemasukan warga asing bermula dari sektor pertanian, apabila penguatkuasaan lemah mereka monopoli sebagai pekerja di restoran dan kini bekerja di stesen minyak pula.

“Tidak cukup dengan itu mereka buat networking dengan pembekal barangan dari negara mereka bagi membolehkan mereka jadi peniaga pula.

“Kalau kita pergi ke pasar borong, mana ada orang Melayu. Dari pekerja, peniaga dan rantaian bekalan, semuanya dikuasai oleh warga asing, rakyat Bangladesh terutamanya.

“Sebab itu kita lihat bagaimana warga asing yang berada di Malaysia semakin kaya dan rakyat kita pula yang bising kerana barang mahal,” ujar beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: