Rabu, 17 Mei 2017

Berbilion ringgit ditabur, masalah bekalan elektrik Sabah masih tak selesai



Roketkini.com

TAWAU: Berbilion ringgit dana kerajaan pusat telah disalurkan bagi membiayai pelbagai projek pembinaan loji kuasa elektrik di Sabah untuk memastikan bekalan efisyen, namun, rakyat negeri ini tetap berdepan gangguan elektrik saban hari.

Adun Sri Tanjong, Chan Foong Hin berkata, masalah elektrik terus berlarutan kerana kerajaan lambat bertindak untuk memulakan projek pembinaan loji kuasa elektrik walaupun telah membuat pengumuman mengenainya.

Sebagai contoh, katanya, kerja-kerja projek loji kuasa geoterma di Apas Kiri dekat sini masih belum dijalankan meskipun telah diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili pada Ogos tahun lepas.

Loji kuasa yang bakal menjana 30 megawatt (MV) kuasa elektrik dan dibangunkan Tawau Green Energy Sdn Bhd itu, katanya memetik Maximus, disebut-sebut sebagai projek pertama seumpamanya di Malaysia dan dijadualkan beroperasi pada Jun tahun hadapan.

Bagaimanapun, hasil tinjauan beliau di tapak projek berkenaan mendapati tiada kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan walaupun terdapat jentera dilihat tersadai tanpa seliaan jurutera dan kehadiran buruh.

Malah, melalui perbualan ringkas dengan penjaga keselamatan di tapak terbabit mengesahkan bahawa tidak ada sebarang aktiviti pembinaan dijalankan sejak awal tahun ini.

“Tidak ada pekerja dan jurutera di tapak pembinaan, bagaimana mereka hendak beroperasi pada Jun 2018?” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menggesa Maximus menjelaskan sama ada projek itu mampu disiapkan dalam tempoh masa yang dijadualkan memandangkan tidak ada tanda kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.

“Saya berharap beliau dapat menjelaskan mengenai perkara itu dalam lawatannya ke Tawau pada 18 Mei akan datang,” katanya yang juga Setiausaha DAP Sabah.

Mengulas mengenai perkara berkaitan, Foong Hin berkata, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM2.3 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah, namun ia masih ditahap yang tidak memuaskan.

“Kerajaan negeri Sabah menyasarkan 250 minit bagi Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI), namun ia tidak tercapai apabila hanya mencatat 311.01 minit tahun lepas.

“Dengan peruntukan yang begitu besar masih lagi tidak boleh mencapai sasaran SAIDI yang ditetapkan, apa lagi yang kita boleh harapkan dengan kementerian yang dikawal oleh Maximus ini,” luahnya.

SAIDI adalah ukuran tempoh purata gangguan dalam minit yang dialami oleh pengguna untuk tempoh setahun. Lebih rendah kadar SAIDI, lebih efisyen bekalan elektrik di sesuatu kawasan tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: