ISMA WEB


BANGI – Walaupun hutang dan tanggungan 1MDB dipindahkan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan, masalah dan beban yang dicetuskannya terus menghantui negara dan membebankan rakyat jelata dengan pembayaran balik hutang yang sangat banyak, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, semua orang tahu bahawa banyak urus niaga membabitkan syarikat milik kerajaan Republik Rakyat China sejak setahun dua ini berhubung rapat dengan usaha membayar balik RM50 bilion hutang 1MDB bagi mengelakkannya daripada diisytiharkan muflis.

“Soalnya, mengapakah Kementerian Kewangan tergesa-gesa tanpa banyak cerita memberikan kontrak Bandar Malaysia kepada konsortium Malaysia-China itu dan baru sekarang bercakap mengenai tawaran terbuka bagi mencari pemaju utama yang baharu?

“Mengapakah baru sekarang akan mengenakan syarat-syarat yang ketat seperti rekod pencapaian, kepantasan menyiapkan projek dan kemampuan kewangan?

“Kita juga berhak tahu mengapa CREC tidak mampu atau tidak mahu membayar harga saham Bandar Malaysia seperti yang telah dipersetujui? Apakah ini kerana kerajaan China telah mengetatkan syarat membawa keluar modal untuk dilaburkan di luar negara atau kerana sebab-sebab lain?,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times turut mempersoalkan pemberian kontrak kepada syarikat pembinaan asing, sedangkan banyak syarikat pembinaan dan hartanah tempatan, termasuk yang dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah membuktikan kemampuan memajukan pembangunan hartanah bersepadu.

Mengulas kegagalan projek raksasa Bandar Malaysia – diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Pelan Transformasi Ekonomi – Kadir berkata, banyak pihak curiga dan mempertikaikan pemberian konsesi projek itu kepada sebuah syarikat milik China dan sebuah syarikat tempatan yang tidak begitu terkenal dalam sektor pembinaan dan hartanah negara.

3 Mei lalu, anak syarikat Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd mengumumkan perjanjian pembangunan Bandar Malaysia dengan konsortium Malaysia-China telah luput. Konsortium itu mengandungi syarikat tempatan, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) dari China.

Pada 31 Disember 2015, TRX City Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian penjualan saham dengan IWH dan CREC. Pada 21 Julai 2016, TRX City Sdn Bhd memindahkan pemilikan dan tanggungjawab 60 peratus saham Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada IWH CREC Sdn Bhd. Bandar Malaysia Sdn Bhd adalah pemaju Bandar Malaysia.

“IWH dimiliki Tan Sri Lim Kang Hoo dan CREC pula adalah salah sebuah syarikat pembinaan antarabangsa milik Majlis Negara, Republik Rakyat China,” katanya.