Sabtu, 20 Mei 2017

Azmin belum maklum penamatan kerjasama PAS-PKR kepada Istana

 
Menteri besar juga berkata tiada perbincangan mengenai kedudukan 3 exco PAS dengan Sultan Selangor.


azmin-ali_sultan-selangor_600


SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pihaknya belum memaklumkan kepada Istana Selangor mengenai penamatan kerjasama politik antara PKR dan PAS baru-baru ini.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata setakat ini, tiada perbincangan dibuat mengenai kedudukan 3 exco PAS dalam pentadbiran negeri itu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Difahamkan Azmin mengiringi Sultan Sharafuddin menziarahi Makam Diraja Shah Alam dan Makam Diraja Klang pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan merujuk kepada pihak istana mengenai isu berkenaan, Azmin menjawab: “Saya berjumpa Tuanku (Sultan Sharafuddin) setiap minggu, setiap Selasa,” tanpa mengulas lanjut kepada pemberita selepas merasmikan Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Exco PAS Zaidy Abdul Talib yang memegang portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi.

Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan hubungan kerjasama politik dengan PKR serta merta apabila parti itu dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Keputusan penamatan itu menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan 3 exco PAS dalam kerajaan Selangor yang dipimpin Azmin.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Rabu memutuskan 3 exco PAS kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 tanpa perlu meletak jawatan.

Mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyatakan seorang exco selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

Selain Zaidy, 2 lagi exco PAS dalam kerajaan Selangor adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi.

Tiada ulasan: