Khamis, 25 Mei 2017

Antara menteri sukan dan wataniah

Zaidel Baharuddin


KECOHAN timbul di kalangan netizen sejak semalam akan ketidakhadiran Menteri Belia dan Sukan ke perlawanan akhir bola sepak antara Kedah dan Pahang bagi merebut piala FA.

Pelbagai reaksi yang timbul termasuk dari Presiden FAM sendiri, mungkin kerana yang berhormat menteri kelihatan sebagai seorang individu yang minat dengan sukan bola sepak menyebabkan rasa kekok akan kehilangan beliau.

Namun, izinkan saya melontar sudut pandangan berbeza, bukan hendak mempersoalkan sesiapa, sekadar ingin memberi pendapat dari sudut perspektif orang yang tidak meminati sukan bola sepak.

Orang yang tanpa sebarang rasa ragu atau bersalah memilih untuk tidur berbanding dengan berjaga jam 4 pagi untuk menonton perlawanan akhir piala dunia. Sesungguhnya 22 lelaki berpeluh mengejar satu bola bukanlah suatu aktiviti yang saya minati.

Menteri sukan

Perkataan sukan dalam jawatan Menteri Belia dan Sukan bagi saya bermaksud menteri kepada semua sukan, sebagaimana beliau adalah menteri akan dikaitkan dengan bola sepak begitu jualah untuk sukan yang lain seperti gimnastik, sepak takraw, berbasikal, renang hatta lontar peluru sekalipun.

Maka kalau kita hendak meletakkan satu piawaian baru bahawa tugas hakiki seorang menteri sukan itu ialah untuk hadir ke perlawanan akhir piala bola sepak, adalah seperti meletakkan syarat untuk beliau juga wajib hadir ke perlawanan akhir sukan-sukan yang lain, iyalah beliau kan menteri sukan.

Contohnya dengan syarat baru ini maka wajiblah menteri belia dan sukan untuk menghadirkan diri ke saringan akhir pertandingan renang berirama peringkat kebangsaan. Mungkin anda rasa kekok kalau saya berkata begitu kerana, iya lah, siapa kisah akan pertandingan renang berirama di Malaysia ini.

Tetapi untuk peminat setia sukan berkenaan, sudah pasti mereka mengharapkan layanan yang serupa dengan sukan bola sepak.

Menteri dan mereka yang diraikan 

Akan tetapi sebelum kita dengan mudahnya menyalahkan mana-mana pihak atau mengatakan bahawa orang ini betul atau orang itu salah, wajar kita lihat bagaimana corak pemikiran begini boleh muncul dalam minda masyarakat kita. Sebagai seseorang yang pernah bertugas dalam kementerian, dapat saya saksikan akan ketaksuban program-program kerajaan dan kementerian yang berpusat kepada tetamu kehormat ataupun VIP, dan biasaanya tetamu itu adalah seorang menteri.

Banyak yang saya lihat program dan acara yang terpesong niatnya hanya kerana mahu mengampu pak menteri atau VVIP. Sebagai contoh, pasti kita pernah lihat dan dengar akan kenduri jamuan makan buat anak-anak yatim dimana anak-anak ini dipaksa berlapar berjam-jam atau tunggu di bawah panas kerana menantikan kehadiran VVIP atau menunggu ucapan panjang lebar belua habis.

Ini belum kira golongan asnaf dan orang miskin yang menjadi bahan hiasan dalam satu-satu program supaya diambil gambar bersama pemimpin memberi sumbangan. Perkara ini tidak berlaku hanya dalam majlis-majlis kerajaan sahaja, ianya telah juga merebak ke majlis peribadi di mana dapat lihat tumpuan yang lebih diberikan kepada tetamu kehormat di dalam sebuah majlis perkahwinan berbanding dengan pasangan raja sehari.

Saya kira budaya ini perlu diubah. Sebenarnya menteri itu hanyalah pelengkap majlis dan bukannya tumpuan majlis, janganlah kita menghabiskan lebih banyak peruntukan dan perbelanjaan untuk protokol majlis berbanding dengan sumbangan yang hendak diberikan. Contohnya, kos untuk kemah dan majlis mencecah beratus ribu tetapi sumbangan yang diberikan kepada golongan miskin hanyalah beberapa guni beras, gula, garam dan dua botol minyak masak.

Menteri bukan segalanya

Sebab itu, saya agak gembira dengan berita baru-baru ini bahawa Velodrom Nasional akan dirasmikan oleh lagenda-lagenda berbasikal seperti M Kumarasan dan Ng Joo Ngan dan bukannya menteri atau orang politik.

Benarlah, menjadi kemahuan dan hasrat satu-satu kementerian itu untuk majlis atau inisiatif mereka dilancarkan oleh Menteri mereka sendiri, tetapi bukanlah semua benda perlu dibuat begitu. Banya perkara, insiatif dan majlis yang mempunyai insan atau individu yang lebih layak diraikan berbanding dengan pemimpin kerajaan. Ini tidak bermaksud kita tidak menghormati jawatan menteri itu tetapi kita perlu membezakan antara orang yang diraikan dan tugas hakiki Menteri.

Kadang-kadang pening juga kita melihat apabila menteri itu menghabiskan sehari suntuk dari pagi sampai ke petang pergi dari satu tempat ke satu tempat memotong riben atau hanya sekadar duduk makan dan beri ucapan selama 20 minit, sedangkan masanya yang begitu terhad lebih baik digunakan untuk menyelesaikan masaalah negara dan menjalankan tugas hakiki kementerian yang diterajuinya.

Tapi begitulah, janganlah kita nak salahkan orang politik semata-mata, yang kita ini pun takkan semua benda nak jemput menteri rasmi sampaikan balai raya pun nak kena menteri hadir, kalau dia tak hadir pulak karang merajuk ugut taknak undi nanti dan maki katanya tidak berjiwa rakyat.

 Kesimpulan 

Walaupun asalnya kisah ini timbul dari isu ketidak-hadiran menteri ke perlawanan akhir bola sepak, saya lebih berminat untuk membincangkan akan ketaksuban masyarakat kita dalam meraikan sesuatu tetamu atau majlis itu.

Kadang-kadang kita terlupa akan tujuan asal mengapa satu-satu program itu diadakan, kerana terlalu fokus kepada VIP dan VVIP menyebabkan pada akhirnya satu-satu majlis berkenaan tidak mendatangkan sebarang impak kepada masyarakat dan inilah apa yang dikatakan sebagai ‘majlis syok sendiri’.

Berbalik kepada Menteri sukan kita tadi, benarlah adalah lebih baik sekiranya dia hadir ke perlawanan berkenaan tetapi itu bukanlah sesuatu yang wajib. Lagipun, sebagai seorang yang tidak minat bola sepak, alasan dia tidak hadir ke perlawanan berkenaan kerana menjadi sukarelawan wataniah yang bertugas untuk mempertahankan kedaultan raja dan negara, saya kira saya lagi suka begitu.

Menteri itu bukanlah segala-galanya, lebih baik tumpuan kita diberikan kepada pasukan yang menang dalam perlawanan tempoh hari.

Janganlah pula tanya saya siapa yang menang, saya tak tengok pun

* Zaidel Baharuddin memegang jawatan Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional selain menjadi hos rancangan Sembang Kencang Sahih yang membincangkan isu-isu sosio ekonomi masa kini.

Tiada ulasan: