Selasa, 23 Mei 2017

Alasan SPRM tangguh tindakan sangat dangkal, kata PAS

MALAYSIAKINI


Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata justifikasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak akan bertindak ke atas ahli-ahli politik yang sedang disiasat sebelum pilihan raya umum ke-14 sebagai sangat dangkal.

“Pertama, kenyataan ini menunjukkan SPRM tidak dapat berlaku adil terhadap rakyat Malaysia, 
malah ia membeza-bezakan antara rakyat Malaysia di mana terhadap hak istimewa yang dikhususkan kepada orang politik, orang kerajaan dan orang awam. Ini tidak boleh berlaku.

“Kedua, kenyataan ini juga menunjukkan SPRM tidak bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Dzulkifli (foto, kanan) dilaporkan berkata SPRM tidak mahu bertindak terhadap ahli politik berkenaan sekarang kerana ini boleh digunakan sebagai bahan kempen pada PRU14.

Tuan Ibrahim mempersoalkan bahawa sekiranya polis juga mengambil pendirian sama, apakah ahli-ahli politik sekarang boleh dikira kebal kerana institusi-institusi penguatkuasaan tidak berani bertindak terhadap mereka semata-mata tidak mahu dituduh sebagai alat politik?

Menurut pemimpin PAS itu, jika tarikh akhir bagi SPRM adalah sebelum pilihan raya umum akan datang, selama mana tindakan terhadap ahli-ahli politik rasuah akan ditangguhkan kerana tiada siapa yang tahu dengan tepat bila tarikh pilihan raya akan datang.

“Bagaimana pula dengan PRU akan datang yang dijadualkan pada tahun 2023? Bila SPRM akan berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik bermula? Apakah tahun 2022?” soalnya.

Beliau berkata Dzulkifli perlu memahami bahawa SPRM akan dituduh bermain politik dan menjadi alat politik kerana ia dilihat tidak mampu bertindak adil,

SPRM akan dituduh campur tangan dalam politik, katanya, kerana ia dilihat sebagai tidak adil, seperti mereka terlibat dengan kes 1MDB dan SRC International yang dibongkar jauh sebelum PRU diadakan masih belum diheret ke mahkamah.

“PAS menggesa SPRM meneruskan kerja tanpa sebarang pengecualian. Sesiapa sahja yang terlibat dengan rasuah perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

“Rakyat boleh bersetuju jika SPRM hanya berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik ketika waktu kempen pilihan raya, dan bukannya tetiba diumumkan tindakan terhadap ahli-ahli politik ditangguh kerana PRU dah semakin dekat,” katanya.

Sambil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SPRM yang bertindak tegas terhadap jenayah rasuah setakat ini, Tuan Ibrahim berkata, imej badan itu yang sedang meningkat tidak seharusnya dicemari dengan tindakan berat sebelah seperti memberikan hak istimewa kepada ahli-ahli politik menjelang PRU.

Tiada ulasan: