Selasa, 30 Mei 2017

Akulah Tuhan, sembahlah aku' kejutkan jemaah


Kejadian berlaku di Masjid Amru Ibni Al'As, Bandar Baru Sentul.
Kejadian berlaku di Masjid Amru Ibni Al'As, Bandar Baru Sentul.
 
 
KUALA LUMPUR - "Akulah Tuhan, sembahlah aku"  kata-kata itu mengejutkan ratusan jemaah Masjid Amru Ibni Al'As, Bandar Baru Sentul, yang sedang solat Isyak kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Laungan itu diikuti dengan kata-kata "ha bagus, sembah lagi" ketika jemaah sedang rukuk dan sujud.

Meskipun terganggu dengan situasi mengejutkan itu ia bagaimanapun tidak menjejaskan solat yang masuk pada rakaat ketiga setelah imam menguatkan suara.

Salah seorang jemaah, Mohd Ali Oshman, 52, yang berada di saf ketiga ketika kejadian berkata, dia terkejut dan terganggu dengan insiden itu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai tidak bersama dalam saf solat namun tiba-tiba masuk ke ruang solat utama mengadap jemaah sambil melaungkan kata-kata itu.

"Imam menguatkan bacaan takbir 'Allahhuakhbar' bagi meredakan situasi sebelum beberapa kakitangan dapur masjid datang membawa keluar lelaki itu,"katanya.

Seorang lagi penduduk,  Mohd Syabandi Saarani, 40, berkata, ketika insiden itu dia sedang mengambil wuduk.

"Saya dengar kekecohan itu dan bunyi bising ketika ada pihak yang membawa lelaki itu keluar dari dalam ruang solat,"katanya.

Sementara itu, Bilal masjid, Reza Iskandar, yang mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun menasihati jemaah agar tidak bimbang dengan keadaan itu kerana dalam keadaan terkawal.

Ujarnya, insiden itu merupakan kejadian ketiga pada tahun ini melibatkan individu sama di mana lelaki berkenaan juga pernah mengaku diri sebagai dajjal.

"Lelaki berusia 30-an itu merupakan kariah tetap masjid dan mempunyai masalah kesihatan mental dan bergantung dengan ubat. Dia dalam keadaan berhalusinasi dan tidak sedar apa yang dia buat.

"Sebelum ini ada laporan polis telah dibuat. Namun untuk hari ini pihak masjid telah uruskannya. Tiada sebarang keganasan berlaku dan semuanya terkawal.

"Lelaki ini dikenali dengan perwatakan yang baik dan merupakan jemaah tetap pada setiap solat fardu di masjid ini," katanya.

Tiada ulasan: