Ahad, 14 Mei 2017

AJK Pusat tentukan status Exco PAS di Selangor

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
  
KEPALA BATAS: Majlis Syura Ulama PAS akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS untuk menentukan kedudukan anggota exconya di Selangor, kata Mursyidul Am, Hashim Jasin.
 
Beliau berkata jawatankuasa PAS dijadual bermesyuarat Khamis depan dan ia akan diumumkan sekiranya keputusan dicapai.
 
Katanya, PAS telah menjangkakan PKR akan meminta anggota exconya meletak jawatan selepas tahaluf siyasi atau kerjasama politik di antara parti itu dengan PKR dibatalkan.
 
"PAS pusat mempunyai lujnah politik yang bertugas sepenuh masa maka kita serah balik kepada mereka untuk menentukan kedudukan tiga exco Selangor daripada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya PAS Kepala Batas di Kepala Batas, Seberang Prai Utara hari ini.
 
Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dilapor telah mengarahkan tiga anggota exco negeri daripada PAS untuk meletak jawatan selepas kerjasama politik antara PKR dan PAS diputuskan.
 
Bagaimanapun, Hashim menyifatkan berkemungkinan ada pihak lain yang lebih berkuasa untuk tidak membenarkan tiga exco PAS itu meletak jawatan.
 
"Padahal Menteri Besar Selangor boleh rombak barisan exco itu, pasal apa beliau tidak berbuat demikian, itulah teka tekinya.
 
"Itulah sebabnya Majlis Syura menyerah balik kepada jawatankuasa PAS pusat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan anggota exco itu," katanya.
 
Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
 
 

Tiada ulasan: