Rabu, 10 Mei 2017

Aduhai SPR, susahnya semak daftar pemilih



 
Oleh Nurul Izzah Anwar
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai semalam mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku pertama.Salinan senarai ini sebelumnya dikongsikan kepada parti-parti politik, namun kini hanya dipertontonkan di lokasi-lokasi awam seperti ini antara 9 hingga 22 Mei 2017 dan melibatkan 960 tapak pameran seluruh negara.

Nah, terbukti hampir mustahil bagi petugas-petugas parti untuk menyemak satu demi satu nama pemilih yang terkandung dalam RDPT.

Ternyata langkah SPR ini bukan sahaja menghadkan, menyukarkan proses semakan ini daripada dilaksanakan, seakan-akan melaksana strategi Umno-Barisan Nasional!

Untuk makluman, angka permohonan bagi rang suku pertama 2017 adalah antara permohonan yang tertinggi iaitu sebanyak 326,905 permohonan. Sebanyak 242,691 pemilih baru, manakala 84,214 menukar alamat.

Sebagai contoh, hanya ada empat salinan diperagakan di seluruh kawasan parlimen Lembah Pantai. Saya masih kurang pasti sama ada setiap lokasi menunjukkan data pemilih yang sama atau tidak.

Adakah SPR mahu sukarelawan-sukarelawan parti berdiri sepanjang hari dan menyemak nama-nama pengundi yang tersenarai di sini secara manual? Haruskah kami memindahkan kerusi meja untuk memudahkan sukarelawan-sukarelawan kami membuat semakan?

RDPT mengandungi senarai daftar pemilih terkini yang sebelum ini diedarkan SPR kepada semua parti politik setiap suku tahun dan ia memudahkan kami membuat semakan.

Bagi kami di PKR, proses semakan senarai daftar pemilih ini penting bagi memastikan senarai yang dikeluarkan SPR bersih daripada sebarang perkara yang meragukan atau penipuan.

Sebagai contoh, ia merupakan salah satu cara kami untuk mengenal pasti sekiranya wujud pengundi "hantu" di sesebuah kawasan.

Proses semakan yang kami lakukan sebelum ini dibuat secara teliti, satu demi satu nama pemilih disemak kesahihannya.

Namun arahan terbaru SPR ini bermakna kami hanya boleh melihat senarai terbabit di lokasi tertentu sahaja.

Ini bermakna proses semakan terperinci yang selalunya dibuat di peringkat parti hampir mustahil dilaksanakan. Ini menyebabkan kami sukar untuk mengesan sekiranya ada penipuan dalam senarai berkenaan.

Saya khuatir tindakan SPR ini mendekatkan lagi demokrasi di negara kita kepada penipuan. Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai.

Apapun, kami akan terus mempersiapkan petugas-petugas kami terhadap sebarang kemungkinan penipuan pilihan raya.

Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar membantu kami membuat semakan ke atas senarai daftar pemilih dan kenal pasti pengundi-pengundi "hantu" yang mungkin dibawa masuk dalam senarai daftar pemilih kali ini.

Taktik kotor ini akan sama-sama kita lawan!

* Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai, seorang naib presiden PKR

Tiada ulasan: