Isnin, 29 Mei 2017

898 pelajar Tamhidi mendaftar di USIM bagi sesi akademik 2017/2018

Senduksiku Keluang

Pusat Tamhidi USIM tawar Program Tamhidi Sains dan Teknologi, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Syariah dan Undang-undang, Tamhidi Perubatan dan Tamhidi Pergigian.

NILAI: Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 898 pelajar baharu pra-universiti, Tamhidi atau Matrikulasi/Asasi bagi sesi akademik 2017/2018.

Pengarah Pusat Tamhidi USIM, Prof Madya Dr Asmaddy Haris, berkata USIM menerima sebanyak 15,591 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,873 permohonan memilih USIM sebagai pilihan pertama.

Katanya, pendaftaran pelajar Tamhidi di USIM dijangka akan meningkat pada pendaftaran pelajar sesi rayuan yang dijangka mendaftar pada 16 Jun depan.

“Pusat Tamhidi USIM yang menawarkan lima program pengajian merekodkan Program Tamhidi Sains dan Teknologi menerima pendaftaran pelajar paling tinggi iaitu sebanyak 333 pelajar diikuti Tamhidi Perakaunan dan Muamalat sebanyak 201 pelajar, Tamhidi Syariah dan Undang-undang sebanyak 152 pelajar, Tamhidi Perubatan sebanyak 201 pelajar dan Tamhidi Pergigian sebanyak 85 pelajar.

“Seramai 274 pelajar lelaki dan 624 pelajar perempuan yang mendaftar tahun ini adalah mewakili pecahan mengikut negeri yang mana Selangor mencatat angka pelajar mendaftar paling tinggi iaitu seramai 197 pelajar diikuti Kelantan seramai 122 pelajar seterusnya Terengganu seramai 118 pelajar.

“Tambahan, tahun ini juga USIM turut menerima seorang pelajar lelaki dari Thailand,” katanya menerusi kenyataan kepada Berita Daily di sini, hari ini.

Asmaddy berkata, proses pendaftaran berjalan lancar dalam keadaan kondusif dan efisien oleh urusetia dan pengurusan.

Katanya, hampir 80 peratus pelajar yang ditawarkan tempat sudah mendaftar dengan proses mendaftar hanya mengambil masa 15 minit dan urusan ibu bapa dan penjaga pelajar dipercepat dengan terus menghantar anak ke asrama.

Tiada ulasan: