Khamis, 25 Mei 2017

3M gegarkan tempat ‘kelahiran’ Umno

Oleh Amin Iskandar, Low Han Shaun
3M gegarkan tempat ‘kelahiran’ Umno
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad disambut meriah para penyokong parti pada program yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli,
 
SEJAK jam 3.00 petang para petugas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah kelihatan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru sebagai persiapan terakhir sebelum Jelajah Semarak di Kuala Lumpur bermula.

Khemah sudah dipasang, kerusi sudah disusun dan kaunter pendaftaran keahlian Bersatu sudah kelihatan dibuka di tempat bersejarah yang membawa kepada penubuhan Umno pada 1946 dahulu.

Menjelang petang, semakin ramai sukarelawan parti serpihan Umno itu memenuhi tempat program yang kelihatan agak "teratur" berbanding program parti pembangkang lain.

Masuk waktu Isyak, pengerusi majlis mengumumkan solat berjemaah akan diadakan di hadapan pentas ceramah, bersesuaian dengan agenda perjuangan Bersatu yang pertama iaitu "Menegakkan Islam".

Program "Jelajah Semarak: Selamatkan Malaysia Selamatkan Rakyat" anjuran Bersatu yang berlatarbelakangkan legasi Dr Mahathir Mohamad, Menara Berkembar Petronas itu dihadiri hampir 1,000 orang.

Sorakan "hidup Tun" bergema apabila Dr Mahathir memulakan ucapannya.

"Ini adalah tempatnya di mana parti ditubuhkan untuk melawan Malayan Union," kata Dr Mahathir menerangkan kepada hadirin mengenai sejarah Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.

"Saya nak berkongsi cerita dengan tuan-tuan, Time Magazine lapor berita yang menyedihkan.

"Populariti Najib lebih teruk daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Curi harta negara," kata Dr Mahathir merujuk kepada laporan Time Magazine yang mengatakan populariti Najib lebih buruk berbanding Trump.

Seorang hadirin, Raja Nazaruddin Raja Nasron, 64, hadir ke program malam tadi untuk mendengar sendiri penjelasan daripada pemimpin Bersatu mengenai apakah yang mereka ingin tawarkan sekiranya mengambil alih Putrajaya.

"Anak saya yang belajar di kolej turut persoalkan jika benar RM2.6 bilion itu wang derma, kenapa nak pulangkan balik," kata Raja Nazaruddin merujuk kepada wang RM2.6 bilion yang dikatakan masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Raja Nazaruddin yang sebelum ini merupakan ahli Umno sejak 1974 itu meninggalkan parti Melayu itu tahun lalu dan menyertai Bersatu.

Hadirin yang terdiri daripada golongan tua dan muda turut bersorak semasa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir "menghentam kerajaan" dalam ucapan mereka.

Murni, 39, yang bekerja di sektor korporat mengatakan beliau rindu kepada Malaysia yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama.

Beliau yang sudah mengundi sebanyak tiga kali dalam pilihan raya itu hadir untuk mendengar sendiri ucapan Dr Mahathir.

"Tun tak rasuah. Dulu dia tolong orang yang betul-betul layak, contohnya Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary," katanya merujuk kepada tokoh perniagaan Melayu itu.

"Saya rasa Umno tak salah, yang salah ialah kepimpinannya."

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, kehidupan miskin bandar lebih teruk berbanding penduduk di luar bandar.

"Di kampung sekurang-kurangnya kalau tak ada makanan, boleh masuk hutan cari pucuk paku.

"Kat bandar ni, kat mana nak cari? Kat pasarlah. Sebab apa saya cakap ni, saya tahulah saya orang kampung jugak," kata Muhyiddin disambut dengan sorakan meriah.

Terdapat juga hadirin yang datang dari sejauh Johor untuk mendengar ceramah malam tadi.
Patrick Lim Ming Yau, 24, berkata beliau mahu mendengar sendiri apa yang mahu dikatakan Dr Mahathir.

"Saya ingin tahu. Saya selalu menganggap Dr Mahathir orang yang tahu tentang politik dan isu semasa," katanya.

Sepanjang ceramah terdapat "drone" berlegar di udara untuk merakamkan program malam tadi.
Mukhriz yang merupakan bekas menteri besar Kedah dalam ucapannya mempersoalkan mengapa tanah di Kampung Baru masih berstatus pertanian.

"Tak nampak pun sawah padi kat sini. Tak nampak pun pokok dan ladang," katanya.

"Tak nampak kesungguhan kerajaan untuk bela penduduk dalam bandar."

Selepas program tamat, hadirin berebut-rebut untuk bersalam dan bergambar dengan Dr Mahathir.
Petugas Bersatu pula terus mula menyusun kerusi dan mengemas tempat program Jelajah Semarak yang dimulakan awal tahun ini di Kelantan.

Tiada ulasan: