Selasa, 18 April 2017

Zaid Ibrahim 'takut' Islam - PAS Kelantan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sikap takut kepada Islam menjadi punca kepada kritikan Datuk Zaid Ibrahim terhadap kepimpinan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir PAS.
 
Exco Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bagaimanapun berkata rakyat negeri itu tidak 'termakan' dengan kritikan yang dilemparkan bekas menteri undang-undang itu kerana ia bukan pertama kali berlaku.
 
"Semua rakyat Kelantan amat mengenali Zaid Ibrahim, iaitu seorang peguam yang menyaman kerajaan Kelantan kerana hendak melaksanakan hudud.
 
"Serangan beliau kali ini juga atas sifat yang sama, iaitu sama ada takut di atas kebangkitan Islam atau takut terhadap apa yang dibawa oleh kerajaan Islam Kelantan atau di atas rasa kebencian yang tinggi," katanya kepada Antarapos.
 
Che Abdullah mengulas kritikan Zaid pada semalam yang berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Kelantan, khususnya anak muda membuat perubahan di negeri itu menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Zaid mendakwa kerajaan PAS Kelantan gagal melakukan pembaharuan kerana 'sibuk' dengan hukum-hakam dan aktiviti jual balak sekaligus tidak tahu bagaimana untuk meningkatkan hasil negeri.
 
Bukan itu sahaja rakyat negeri itu juga perlu memilih pemimpin yang mempunyai kepakaran dan kewarasan, dan bukannya yang hanya pandai ilmu agama dan beserban semata-mata.
 
Bekas pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) juga mengaitkan betapa Kelantan sangat mundur dari segi pelbagai bentuk kemajuan dan mempunyai banyak masalah sosial.
 
Jangan cari kesalahan
 
Che Abdullah kemudiannya membidas kata-kata Zahid yang dilihatnya kurang senang dengan imej berserban yang sering ditampilkan pemimpin PAS, selain bertegas mana-mana negeri juga turut menghadapi masalah yang sama.
 
"Yang duduk hina pemimpin pak lebai dan sebagainya, berapa ramai pemimpin ulama yang berada dalam kerajaan Kelantan? Lebih ramai yang tidak berpendidikan agama pun.
 
"Sebab itu perjuangannya jelas satu sahaja, apa-apa sahaja untuk serang kerajaan Kelantan. Apabila beliau sebut rakyat Kelantan mundur, beliau kena faham bahawa Kelantan dari segi negeri ia ditadbir oleh PAS. 
 
"Dari segi persekutuannya, kita mempunyai kerajaan yang sama, kuasa jauh lebih besar dari segi pembangunan, pendidikan dan sebagainya. Termasuklah perkara yang disebut berkenaan dadah. Agensi-agensi penguatkuasaan bersabit hal dadah semuanya di bawah agensi persekutuan. 
 
"Sebagai seorang peguam dan tokoh politik yang senior, sepatutnya beliau faham sangat. Tetapi ini buat kenyataan sebegini kerana kebencian terhadap kumpulan dan parti Islam," tegasnya lagi.
 
Dalam masa yang sama Che Abdullah menegaskan pihak luar akan 'tutup mata' dengan apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan negeri, termasuk Zaid, kerana sikap mereka sendiri yang tidak mahu melihat dari kaca mata Islam.
 
Sedangkan beberapa perkara yang pernah dibawa PAS Kelantan juga ditiru di peringkat kerajaan persekutuan, tambahnya lagi.
 
"Zaid tidak pernah melihat dari kaca mata Islam sebab itu beliau sebut kerajaan Kelantan tidak buat apa-apa. Kerajaan Kelantan mengharamkan judi di sini, bagi beliau itu tidak bawa kepentingan apa-apa sebab beliau tidak lihat dari kaca mata Islam. 
 
"Kita mengharamkan arak untuk dijual kepada pemuda Islam, bagi beliau tidak apa-apa sebab pada beliau minum arak tidak ada apa-apa.
 
"Kerajaan negeri meletakkan dana perbendaharaan Kelantan di perbankan Islam. Pada beliau tidak ada apa-apa sedangkan tindakan itulah yang menyebabkan bank-bank lain membuka kaunter perbankan Islam dan sebagainya. Namun beliau tidak nampak ia perkara yang baik kerana tidak melihat dari kaca mata Islam," jelas Che Abdullah.
 
 

Tiada ulasan: