shahbudindotcom
Sejak
petang semalam, penyokong-penyokong Zahid Hamidi kelihatan aktif
berhubung sesama sendiri untuk bertukar pandangan tentang kesan
perlantikan Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas
terhadap masa depan "boss" mereka.
Kecewa,
resah dan marah bercampur-baur dalam diri setiap mereka. Jika dulu
mereka gembira serta hati kembang tak terkata bila Zahid Hamidi dilantik
Timbalan Perdana Menteri, kini perasaan sebaliknya pula mula dirasa.
Hakikatnya,
siapa pun dapat merasa perlantikan Hishammuddin itu menunjukkan ada
yang mula tak kena. Sebelum ini, mereka yang dilantik menjadi Menteri
Tugas-Tugas Khas, terakhirnya ialah Daim Zainuddin, itu saja jawatan
yang disandangnya, tetapi Hishammuddin diberikan jawatan itu di ketika
masih dan dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan.
Nak
dikata Najib Razak tidak cukup pembantu, beliau sudah pun ada seorang
Timbalan Perdana Menteri, sembilan menteri dan dua timbalan menteri di
Jabatan Perdana Menteri - suatu angka paling besar dalam sejarah yang
pernah mengelilingi mana-mana Perdana Menteri.
Jadi,
kewajaran meletakkan Hishammuddin yang diketahui umum sedang bersaing
kuasa dengan Zahid Hamidi, memang menimbulkan banyak teka-teki,
spekulasi dan prasangka.
Kata
Hishammuddin, pelantikannya kerana ada banyak kerja, terutama untuk
meringankan beban Perdana Menteri, tetapi dalam masa yang sama beliau
belum lagi mengetahui apa tugas khusus yang akan diberikan kepadanya
untuk dilaksana.
"Kami proaktif, work in progress dan
kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu dihadapi, maka
penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas
budi bicara dan kuasa Perdana Menteri.
"Ia
adalah keputusan Perdana Menteri," kata Hishammuddin sambil menambah,
beliau akan berbincang dengan Najib kemudian mengenai tugas-tugas khusus
untuknya itu.
Seorang penyokong Zahid Hamidi lantas menyindir jawapan Hishammuddin - dilantik kerana ada banyak kerja atau untuk mengerja?
Logiknya
juga, jika beban Perdana Menteri yang mahu diringankan, apakah selama
ini keberadaan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, disertai
sembilan menteri dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri,
masih tidak cukup berupaya dalam membantu serta meringankan kerja Najib?
Atau
Najib tidak cukup mempercayai semua mereka itu sehingga Hishammuddin,
sepupunya sendiri juga yang lebih dipercayai untuk sama-sama berada di
Jabatan Perdana Menteri?
Dalam
hal ini, ramai yang ternanti-nanti langkah serta persiapan Zahid Hamidi
seterusnya, selain pernyataan awal beliau yang dilaporkan menyokong
terhadap perlantikan yang dibuat oleh Najib itu.
Apakah
Zahid Hamidi akan bertindak balas, berdiam diri atau reda dirinya
dipencenkan begitu saja oleh Najib apabila tiba masanya nanti?
Atau mungkin Zahid akan diberikan sesuatu jawatan lain sebagai ganjaran setelah tempatnya diambil alih oleh Hishammuddin?
Dari
satu segi, Zahid Hamidi di mata Najib adalah "budaknya" saja. Zahid
mula bekerja dengan Najib sebagai Setiausaha Politik selepas pilihanraya
1986 dan kemudian menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia
sepanjang Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO.
Zahid
Hamidi adalah antara yang memainkan peranan utama menaikkan karier
politik Najib sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri. Apabila Zahid
Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin
Yassin, di mata Najib beliau tetap "budaknya", walaupun sudah sama-sam
bergelar "Yang Amat Berhormat".
Zahid
Hamidi tahu banyak rahsia Najib dan Najib juga tahu banyak rahsia Zahid
Hamidi. Tetapi, kawalan kuasa berada sepenuhnya di tangan Najib.
Dengan
yang demikian, Najib tahu bahawa Zahid Hamidi tidak akan berani melawan
atau berkata apa-apa, biar diperlaku apa sekali pun, termasuk jika
diminta bersara atau tidak bertanding lagi dalam PRU 14 akan datang.
Meskipun
jelas bahawa perlantikan Hishammuddin dengan memberinya dua portfolio
menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas adalah
bertujuan melonjakkan sepupunya dan mengenepikan Zahid Hamidi, tetapi
tiada apa yang boleh diharapkan sesuatu yang luar biasa akan dilakukan
oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Percayalah, Zahid Hamidi tidak akan melawan apa-apa.
Zahid
Hamidi sendiri sebelum ini sudah berulangkali menyatakan tetap taat
setia apabila dirinya tidak lagi menjadi pemimpin utama, malah akan
memberi sokongan kepada calon pengganti sebagaimana beliau disokong
sebelumnya.
Kecuali
jika UMNO dan BN kalah pilihanraya, perancangan Najib untuk meletakkan
Hishammuddin menggantikan Zahid Hamidi, tiada siapa dapat
menghalangnya.
Di
fikiran Najib, yang lebih utama di sebalik pelbagai kemelut berterusan
menghimpitnya, adalah dirinya sendiri. Soal negara, ekonomi, kedudukan
mata wang dan lain-lain barangkali adalah prioriti di pertengahan, kalau
pun tidak di belakang sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan