Ahad, 2 April 2017

Zahid kata RUU 355 dibentang hari akhir sesi Dewan Rakyat, serah kepada speaker

 Berita Daily Staff

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Menurutnya, keputusan untuk membentangkan RUU 355 diserahkan kepada budi bicara Speaker sama ada tempoh huraian pindaan ini diberi secukupnya dan juga perbahasan akan dibuat atau sebaliknya.

“Tetapi saya yakin pengundian tidak akan dilakukan, walau bagaimanapun terserah kepada Speaker untuk menentukan tatacara di dalam persidangan dewan itu diikuti budi bicaranya,”katanya selepas
mempengerusikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), ke-24, semalam.

Beliau berkata, kini RUU 355 akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang sebagai rang undang-undang persendirian.

“Peluang untuk membentangkan RUU 355 adalah selepas semua urusan kerajaan selesai, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada 6 April,”katanya.

Menteri dalam negeri itu berkata, Dewan Rakyat mempunyai peruntukan rasmi untuk menggunakan kuasa Speaker bagi menentukan sama ada RUU 355 boleh dibentangkan sebagai usul persendirian atau melalui tatacara.

Tiada ulasan: